Agong, PM ucap takziah pemergian Baharom

145

17 NOV: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Ketua Pengarang Sinar Harian, Datuk Baharom Mahusin yang meninggal dunia, pagi tadi.

Seri Paduka juga menzahirkan rasa sedih dengan pemergian wartawan veteran itu dan berharap seluruh keluarga Allahyarham sabar dan tabah menghadapi dugaan dan suasana pilu ini.

“Seri Paduka amat menghargai khidmat bakti serta jasa Allahyarham kepada masyarakat dan menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar, khususnya kepada dunia kewartawanan negara,” jelas Istana Negara dalam kenyataan melalui Facebook, hari ini.

Sementara itu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut berkongsi kesedihan bersama warga media di negara ini atas pemergian Baharom.

Beliau dan keluarga mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham atas kehilangan insan tersayang dan semoga tabah menghadapi ujian yang amat getir ini.

baharom

Secara peribadi, Muhyiddin mula mengenali Baharom sejak beliau bertugas sebagai Ketua Pengarang Kosmo serta merupakan seorang individu yang mudah didekati dan terkenal dengan sikapnya yang komited terhadap profesion sebagai pengamal media.

“Pemergian Allahyarham adalah satu kehilangan besar kepada dunia kewartawanan dan industri media di dalam negara.

“Allahyarham akan sentiasa diingati sebagai seorang yang merendah diri, lembut berbicara dan senang untuk bekerjasama,” katanya melalui hantaran Facebook beliau, hari ini.

Beliau turut mendoakan semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas rohnya dan menempatkan arwah dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh.

Berita kematian di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) disahkan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Sinar Harian, Datuk Hussamuddin Yaacub menerusi satu ciapan dalam laman Twitter miliknya.

Selain Sinar Harian dan Kosmo!, Allahyarham sebelum ini pernah menjawat pelbagai jawatan di Utusan Malaysia.

Difahamkan, jenazah akan dibawa dari PPUM ke Masjid Bilal Bin Rabbah Taman Koperasi Polis Kuala Lumpur sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudthul Sakinah Taman Batu Muda. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.