UMNO, pimpinan parti PN ucap takziah

178

16 NOV: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan pimpinan parti dalam Perikatan Nasional (PN) merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Ahli Parlimen Gerik, Allahyarham Datuk Hasbullah Osman yang meninggal dunia akibat serangan jantung petang tadi.

“Sahabat seperjuangan, Ahli Parlimen Gerik, Datuk Hasbullah Osman telah kembali ke rahmatullah sebentar tadi.

“Semoga Allah SWT ampuni dan rahmati roh Allahyarham serta tempatkan bersama dengan para mukminin solihin. UMNO dan keluarga besarnya menyampaikan takziah kepada keluarga Allahyarham,” kata Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menerusi satu hantaran di media sosial beliau.

Sementara itu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mendoakan semoga Allah SWT mengampuni segala dosa Allahyarham dan menempatkannya bersama orang-orang yang soleh.

“Menerima perkhabaran duka, Ahli Parlimen Gerik, YB Datuk Hasbullah Osman telah meninggal dunia sebentar tadi.

“Semoga Allah SWT mengampuni segala dosanya, merahmatinya dan menempatkannya bersama orang-orang yang soleh. Salam takziah kepada keluarga dan kenalan Almarhum,” kata Ahli Parlimen Kubang Kerian itu.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, ini adalah berita yang amat mengejutkan dan satu kehilangan besar buat rakyat di negeri Perak dan Parlimen Gerik khususnya.

Kata Menteri Besar Perak itu, sesungguhnya Allahyarham akan sentiasa dikenang sebagai pemimpin yang sangat banyak berjasa kepada rakyat di kawasan Gerik sepanjang khidmat beliau sebagai ADUN Temenggor dan Ketua UMNO Bahagian, seterusnya sebagai Ahli Parlimen Gerik.

“Kita doakan semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas rohnya dan dikumpulkan bersama hambaNya yang beriman dan beramal soleh serta dikurniakan sebaik-baik ganjaran syurga.

“Semoga ahli keluarga dan kerabat yang dicintai Allahyarham Datuk Hasbullah tabah menghadapi ujian yang berat ini,” kata Ahmad Faizal yang juga Ahli Parlimen Tambun.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.