Suriyadi dilantik Pengarah Pusat Timbang Tara AIAC

70

16 NOV: Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Suriyadi Halim Omar, dilantik sebagai Pengarah Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) bagi sesi 2020 hingga 2022 yang berkuat kuasa pada 1 Disember depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Takiyuddin Hassan, berkata pelantikan Suriyadi mendapat persetujuan Jemaah Menteri, pada 13 November lalu.

Beliau berkata pelantikan Suriyadi dibuat hasil konsultasi pihak kerajaan dengan Asian-African Legal Consultative Organization (AALCO), selaras dengan AIAC sebagai institusi antarabangsa yang bebas dan bernaung di bawah AALCO.

Suriyadi, 69, berkelulusan LLB (Hons) dari Universiti Warwick, United Kingdom dan Barrister-at-Law dari Lincoln’s Inn, London.

Beliau juga pernah dilantik sebagai Ahli Suruhanjaya Pelantikan Hakim Baharu.

“Dengan pelantikan ini saya mengharapkan Tan Sri Datuk Suriyadi dapat meneruskan kecemerlangan beliau dalam menerajui AIAC untuk terus menjadi sebuah pusat timbang tara yang unggul di rantau Asia,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.