PKPD Asrama Pekerja Top Glove, 215 kes positif

142

16 NOV: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dikuatkuasakan di Asrama Pekerja Top Glove, Klang mulai esok hingga 30 November ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sehingga semalam, sebanyak 215 kes positif direkodkan di kawasan tersebut.

Menurut beliau, pelaksanaan PKPD itu membabitkan kawasan Asrama Pekerja Lelaki serta Jalan Abadi 1A/ KU8 dan Asrama Pekerja Wanita serta Jalan Abadi 1A dan Jalan Abadi yang melibatkan seramai 13,190 orang pekerja dan hampir 1,200 penduduk.

Ismail Sabri Yaakob
ISMAIL SABRI YAAKOB

“Pelaksanaan PKPD ini bagi membolehkan Kementerian Kesihatan terus melaksanakan saringan bersasar kepada pekerja dan penduduk terlibat di kawasan tersebut.

“Pihak Top Glove juga perlu membuat saringan sepenuhnya kepada semua pekerja di kilang dan juga di asrama-asrama yang membekalkan tenaga kerja kepada kilang tersebut,” katanya dalam sidang media di Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur, hari ini.

Ismail Sabri turut mengumumkan penamatan PKPD di Pusat Tahanan Sementara (PTS) Kota Kinabalu, Penjara Kepayan dan Kuarters Penjara Taman Mat Salleh, Kampung Matambai.

Beliau memberitahu, PKPD di semua lokasi terbabit ditamatkan hari ini seperti yang dijadualkan.

“Walau bagaimanapun, kesemua penduduk di lokaliti ini masih tertakluk kepada SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan di seluruh Sabah,” jelasnya.

Selain itu, PKPD di Institut Latihan Kementerian Kesihatan di Johor Bahru ditamatkan seperti yang dijadualkan hari ini.

“Namun, kesemua penduduk di lokaliti ini masih tertakluk kepada SOP PKPB yang dilaksanakan di seluruh Johor,” katanya. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.