Pegawai perubatan kontrak UD41 naik gred UD43

181

16 NOV: Kerajaan meluluskan pelarasan gred pegawai perubatan kontrak daripada gred UD41 kepada gred UD43, setara dengan pegawai lantikan tetap.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, kelulusan yang diputuskan pada Jumaat lalu sebagai menghargai perkhidmatan yang diberikan.

Menurutnya, ia juga membolehkan pegawai menerima emolumen yang setara dengan pegawai lantikan tetap.

“Pelarasan gred itu turut dipanjangkan kepada pegawai pergigian kontrak.

“Ini kerana pegawai perubatan dan pegawai pergigian lantikan kontrak turut memikul beban tugas yang setara dengan pegawai lantikan tetap yang dinaikkan pangkat ke gred 44 selepas memenuhi syarat kenaikan pangkat dan tempoh perkhidmatan sekurang-kurangnya dua tahun,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Dr Adham memberitahu, kementerian banyak menerima permohonan daripada pelbagai pihak sebelum ini supaya meminta kerajaan mempertimbangkan pelarasan gred berkenaan.

Tambah beliau, kelulusan tersebut bersesuaian dengan pendekatan Malaysia Prihatin yang diamalkan oleh kerajaan pada masa ini dan selaras dengan prinsip upah mengikut kerja (rate for the job).

“Kementerian Kesihatan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan atas kelulusan ini.

“Kementerian Kesihatan menaruh keyakinan bahawa keputusan ini berupaya memberi impak positif ke arah memperkukuhkan keharmonian organisasi dan meningkatkan lagi motivasi pegawai dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.