KWSP benar keluar Akaun 1, maksimum RM60,000

55,447

16 NOV: Mana-mana Ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang terjejas disebabkan kehilangan pekerjaan, cuti tanpa gaji dan terbabit dalam sektor tidak formal boleh memohon pengeluaran amaun simpanan hingga RM60,000 daripada Akaun 1.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Tunku Alizakri Alias, berkata bagi ahli yang mempunyai simpanan dalam Akaun 1 di bawah RM90,000, mereka boleh memohon pendahuluan hingga RM9,000.

Tunku Alizakri berkata, ahli yang mempunyai simpanan persaraan dalam Akaun 1 melebihi RM90,000, amaun yang diberikan adalah sebanyak 10 peratus daripada simpanan dengan maksimum hingga RM60,000 .

Katanya, permohonan boleh dibuat bermula Disember 2020 dan seramai dua juta ahli akan menerima manfaat ini dengan anggaran RM14 bilion.

“KWSP akan memberikan pendahuluan kepada ahli yang terjejas. Jumlah yang diberikan itu perlu dibayar semula apabila mereka sudah mendapat pekerjaan dan mula kembali mencarum.

“Amaun pendahuluan ini akan dikreditkan secara berkala selama enam bulan bermula pada tarikh pertama pengkreditan,” katanya dalam taklimat khas KWSP di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata pengkreditan pertama akan bermula pada Januari 2021 dan amaun pendahuluan ini akandikreditkan secara berkala sehingga enam (6) bulan .

Beliau berkata secara umum, ahli yang layak boleh mengakses 10 peratus daripada amaun simpanan mereka dalam Akaun 1, tertakluk kepada baki minimum RM100.

“Ahli yang mempunyai baki RM90,000 dan ke bawah (Akaun 1), akan mempunyai akses kepada amaun sehingga RM9,000. Amaun pendahuluan ini akan dikreditkan secara berkala sehingga enam (6) bulan dengan pendahuluan pertama sehingga RM4,000.

“Ahli yang mempunyai baki lebih daripada RM90,000 (Akaun 1), akan mempunyai akses 10 peratus. Walau bagaimanapun, amaun maksimum yang boleh didahulukan adalah RM60,000.

“Amaun pendahuluan ini akan dikreditkan secara berkala sehingga enam (6) bulan dengan pendahuluan pertama sehingga RM10,000,” katanya.

Dalam pada itu, untuk menentukan amaun yang diperlukan untuk permohonan di bawah i-Sinar dan memastikan kelangsungan hidup semasa krisis, ahli digalakkan untuk mendapatkan nasihat kewangan melalui Pegawai Khidmat Nasihat Persaraan (RAS) KWSP dan/atau Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

“Maklumat lebih lanjut serta butiran terperinci mengenai kelayakan i-Sinar serta terma dan syarat akan dimaklumkan dalam masa terdekat,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.