Kontak rapat positif, PM Britain kuarantin kendiri

25

16 NOV: Perdana Menteri Britain, Boris Johnson, menjalani kuarantin kendiri berikutan individu yang merupakan kontak beliau disahkan positif COVID-19.

Memetik laporan AFP, Johnson diminta berbuat demikian selepas pertemuan dengan sekumpulan kecil Ahli Parlimen di Downing Street, Khamis lalu.

Salah seorang daripada mereka kemudian mengalami gejala dan disahkan positif COVID-19.

“Beliau akan terus bertugas dari Downing Street, termasuk menerajui tindak balas kerajaan terhadap pandemik itu.”

“Kali ini, Perdana Menteri adalah sihat dan tidak mengalami sebarang gejala,” kata jurucakap Pejabat Perdana Menteri Britain.

April lalu, Johnson, 56, dijangkiti wabak itu dan dimasukkan ke unit rawatan rapi selama tiga malam, sekali gus menzahirkan penghargaan kepada petugas hospital kerana menyelamatkan nyawanya.

Beliau memaklumkan, keadaan penyakitnya itu diburukkan lagi dengan faktor berat badan berlebihan, namun kini sudah berkurangan sebanyak 12 kilogram.

Britain yang muncul negara paling terkesan dengan pandemik itu di Eropah, mencatatkan lebih 50,000 kematian daripada kira-kira 1.2 juta kes positif.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.