Komuniti perniagaan minta semak semula SOP PKPB

67

16 NOV: Komuniti perniagaan di negara ini meminta kerajaan menyemak semula prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi memastikan perniagaan mereka dapat diteruskan dan kembali pulih secepat mungkin.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, maklum balas itu diterima daripada beberapa sektor termasuk peruncitan, penjaja, peniaga kecil, pengendali tadika, pengusaha hotel dan restoran, pemandu teksi serta tidak formal mengenai kesan PKPB ke atas perniagaan mereka.

“Umumnya sektor perniagaan serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana mengalami banyak cabaran sejak PKPB dilaksanakan pada 14 Oktober 2020.

“Sekretariat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) akan membawa semua maklum balas ini kepada mesyuarat EAC minggu ini untuk dibincangkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mustapa Mohamed
MUSTAPA MOHAMED

Beliau menambah, prestasi ekonomi pada suku ketiga tahun ini adalah lebih baik dengan keluaran dalam negeri kasar (KDNK) menguncup lebih kecil pada kadar 2.7 peratus berbanding dengan -17.1 peratus bagi suku kedua.

Walau bagaimanapun, katanya, peningkatan kembali kes COVID-19 di negara ini telah menjejaskan pemulihan ekonomi disebabkan PKPB terpaksa dilaksanakan semula di seluruh negara kecuali di Perlis, Kelantan dan Pahang.

“Pada masa yang sama, kita perlu memperkukuhkan tekad dan lebih kreatif untuk mencari jalan bagi memastikan kehidupan seharian dapat disesuaikan dengan norma baharu agar mampu diteruskan dengan sebaik mungkin serta berusaha melandaikan keluk penularan pandemik ini,” jelasnya. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.