COVID-19 Sabah tinggi, Shafie enggan mengaku salahnya

1,142

16 NOV: Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal cuba menyalahkan kerajaan Persekutuan berikutan peningkatan mendadak kes COVID-19 selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 26 September lalu.

Ahli Parlimen Warisan Semporna itu seolah-olah enggan mengakui hakikat bahawa situasi itu tercetus berikutan tindakannya mencadangkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah kepada Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

“Saya nak nyatakan di sini bahawa sistem yang ada dalam perundangan negara kita sudah sedia ada.

“Kalau sekiranya tidak ada gangguan daripada kerajaan yang ada ketika ini, negeri Sabah merupakan negeri yang amat terkawal, paling banyak zon hijau,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) peringkat dasar dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

MOHAMAD ALAMIN
MOHAMAD ALAMIN

Sebelum itu, Ahli Parlimen BN Kimanis, Datuk Mohamad Alamin ketika bangkit mencelah bertanya kepada Mohd Shafie sama ada beliau menyesal kerana mencadangkan pembubaran DUN Sabah.

Mohamad turut membangkitkan kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bulan lalu bahawa punca utama penularan COVID-19 di Sabah adalah kempen PRN dan kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Semalam, Sabah mencatatkan sebanyak 381 kes baharu, kedua tertinggi di negara ini selepas Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, Mohd Shafie mencadangkan kerajaan melaksanakan pelan pemulihan semula ekonomi bagi tempoh dua tahun akan datang dengan mengambil langkah khusus berkaitan COVID-19.

Menurut beliau, pelan itu hendaklah bertindak secara menyeluruh bagi mengurangkan kadar jangkitan serta menguruskan kesan kesihatan dan ekonomi.

“Untuk kesihatan, ia bukan hanya memerlukan kewangan yang mencukupi, kelengkapan peralatan bahkan juga jumlah tenaga manusia dalam sektor kesihatan ini perlulah dipertingkatkan, khususnya di kawasan-kawasan luar bandar yang amat tertekan,” jelasnya. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.