Bas diserang, lebih 30 penumpang dibunuh

116

16 NOV: Berpuluh penumpang sebuah bas maut dalam insiden serangan oleh lelaki bersenjata di barat Ethiopia, kelmarin.

Memetik laporan Agensi Anadolu, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Ethiopia (EHRC) dalam satu kenyataan berkata, berlaku ‘serangan mengerikan’ terhadap sebuah bas penumpang dari Wonbera ke Chagni di wilayah Benishangul-Gumuz.

Setakat ini, sebanyak 34 kematian telah disahkan dan jumlah kematian dijangka mungkin meningkat.

Serangan itu berlaku pada malam Sabtu di kawasan terpencil antara Wonbera dan Chagni.

Tiada kumpulan yang mengaku bertanggungjawab setakat ini, dengan pegawai keselamatan memberitahu media tempatan bahawa tidak ada bukti langsung yang mengaitkan serangan itu dengan konflik di wilayah Tigray utara Ethiopia.

Serangan itu berlaku ketika penduduk melarikan diri dari wilayah tersebut.

Pegawai Sudan berkata, kira-kira 25,000 rakyat Ethiopia telah menyeberang ke Sudan untuk melarikan diri dari pertempuran.

Pada 4 November lalu, Ethiopia melancarkan apa yang digambarkannya sebagai operasi penguatkuasaan undang-undang di Tigray selepas Pasukan Hadapan Pembebasan Rakyat Tigray (TPLF) menyerang kem tentera Ethiopia di utara negara itu.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.