Annuar anjur lebih banyak parti sertai MN

437

16 NOV: Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa mencadangkan agar satu gabungan besar diwujudkan dalam kerangka Muafakat Nasional (MN) dengan disertai pelbagai parti selain daripada UMNO, PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Beliau berkata, usaha penyatuan ummah harus menjadi tanggungjawab utama dan berterusan parti yang mendokong kerajaan kerana sudah terlalu lama negara dibelenggu oleh politik peribadi dan bukannya atas dasar perjuangan untuk rakyat.

Menurut Annuar, telah berkali-kali politik nasional cuba di seret kerana mempertahan atau menentang individu yang perlu dihentikan dengan segera.

annuar musa
ANNUAR MUSA

“Panyatuan ummah tidak harus terbatas setakat UMNO, PAS dan Bersatu. Saya ingin menganjurkan gabungan besar yang melibatkan sekurang-kurangnya 12, 13 parti politik yang sealiran.

“Beberapa parti yang bebas atau menolak Pakatan Harapan (PH) boleh dibawa bersama seperti Parti Warisan Sabah (Warisan), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Barisan Jemaah Islamiah Malaysia (Berjasa), Parti Barisan Kemajuan India Se-Malaysia (IPF), Parti Makkal Sakti, Parti Cinta Malaysia (PCM) dan lain-lain.

“Mari kita garapkan penyatuan dan muafakat besar (Gabungan/ Muafakat Nasional) yang melibatkan Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS). Gabungan ini terhasil dari muafakat dan kerjasama berkesan anggota dalam kerajaan PN,” katanya menerusi hantaran Facebook miliknya, hari ini.

Annuar yang juga merupakan Menteri Wilayah Persekutuan memberitahu, perkara ini perlu dilaksanakan yang boleh dijadikan sebagai satu persiapan dan kesiapsiagaan untuk negara muncul perkasa pasca COVID-19.

“Sudah terlalu lama politik kita berlegar sekeliling dua tiga personaliti, dan bukan atas dasar perjuangan. Sudah berkali kali politik nasional cuba di seret kerana mempertahan atau menentang individu. Cukup cukuplah..

“Yang penting kita tinggalkan politik yg berlegar sekeliling personaliti, dan kita semarakkan politik penyatuan ummah yg mendahulukan kestabilan, ketahanan nasional dan kepentingan rakyat,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.