4 kampung perintis projek lampu jalan solar

288

16 NOV: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) telah menjadikan empat kampung di Sarawak dan Perak yang merupakan projek perintis dalam memperkenalkan lampu jalan berkuasa solar dapat digunakan di seluruh negara khsusnya di kawasan luar bandar.

Menterinya, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berkata, kampung-kampung terlibat adalah Kampung Sungai Tiang dan Sungai Kejar di Ulu Perak dan Kampung Long Semado dan Kampung Long Sukang di Sarawak.

“KPLB sedang melakukan projek dua kampung, satu kampung di Sungai Tiang, Sungai Kejar di Ulu Perak dan di Sarawak, Kampung Long Semado dan Kampung Long Sukang bagi memastikan konsep baharu LED solar dapat kita yakinkan untuk diperluaskan di seluruh negara bagi menjimatkan kos,” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat, hari ini.

ABD LATIFF AHMAD
ABD LATIFF AHMAD

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen BERSATU Sabak Bernam, Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh tentang projek lampu jalan berkuasa solar untuk lampu jalan di luar bandar yang didapati lebih menjimatkan termasuk di kawasan Parlimen Sabak Bernam.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Mohd Fasiah tentang perancangan KPLB dalam melaksanakan kerjasama dengan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli bagi merealisasikan pemasangan lampu solar ini, Abd Latiff memberitahu kolaborasi bersama pihak kementerian itu telah dilaksanakan sejak 2002.

Namun, menurut beliau, pada peringkat permulaan, lampu-lampu jalan di kampung dibina di atas tiang elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan kementerian perlu menjadikan syarikat itu sebagai rakan kongsi.

“Tetapi bila ada LED ini tiang dia tak perlu bergantung kepada tiang TNB dan punca menyala lampu ini dari solar jadi tiada kaitan. Ekoran itu, satu dasar baharu perlu dibuat dan dasar ini bermula sewaktu diberi amanah saya menjaga hal-hal kampung.

“Sabah sedikit (lampu solar) kerana proses ini perlu melalui proses yang telus, dokumennya mesti transparent, tendernya mesti terbuka supaya orang kampung dapat lampu dengan kadar yang murah,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.