1,103 kes baru, separuh di Lembah Klang

854

16 NOV: Sebanyak 1,103 kes baru COVID-19 dilaporkan hari ini dengan penularan di Lembah Klang terus mengatasi bilangan kes baru di Sabah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata Lembah Klang mencatatkan 544 kes yang mana 392 kes dilaporkan di Kuala Lumpur manakala Selangor pula 151 kes dan bakinya di Putrajaya.

Menurut beliau, seperti mana semalam, penyumbang terbesar bagi kes di Lembah Klang adalah daripada Kluster Bina Damanlela yang merekodkan 385 kes hari ini.

Katanya, jumlah penularan baru di Sabah pula adalah sebanyak 288 kes manakala Perak, 116 kes diikuti Negeri Sembilan dengan 90 kes, Pulau Pinang (26), Kedah (10), Labuan (8), Johor (8), Kelantan (7), Terengganu (4) manakala Sarawak, Melaka dan Putrajaya masing-masing mencatatkan satu kes.

“Kes sembuh COVID-19 yang dilaporkan hari ini pula berjumlah 821 kes. Keseluruhannya kes positif yang dikesan di Malaysia berjumlah 48,530 kes dengan 12,601 adalah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 yang telah diasingkan untuk rawatan.

“Daripada jumlah yang dirawat itu, 102 kes ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 39 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya dalam sidang akhbar di Putrajaya hari ini.

Sementara itu, kata Noor Hisham, kes kematian baru yang dilaporkan turut mencatatkan pertambahan sebanyak empat kes.

Katanya, ini menjadikan kes kemulatif kematian akibat COVID-19 di negara ini mencecah angka 313 kes.

“Keempat-empat kes dilaporkan di beberapa hospital di Sabah iaitu dua di Kota Kinabalu dan dua di Tawau,” ujarnya.

Jelas Noor Hisham, hari ini hanya satu kes import dicatatkan melibatkan kepulangan rakyat dari Arab Saudi. -Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.