Takut mati: Ahli Parlimen Bintulu mohon maaf

2,140

15 NOV: Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing memohon maaf di atas keterlanjuran kata ketika perbahasan Belanjawan 2021mengenai isu COVID-19 di Dewan Rakyat baru-baru ini.

King Sing yang juga Duta Khas kepada Perdana Menteri ke China itu berkata, beliau tidak berniat dan terdetik untuk menafikan amalan mulia semua barisan hadapan termasuk Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, para doktor dan jururawat.

Tiong King Sing

“Bagi memastikan perjalanan sidang Dewan Rakyat berjalan lancar selain kepentingan serta keharmonian negara, saya membuat permohonan maaf sekiranya ada keterlanjuran kata ketika perbahasan Belanjawan 2021.

“Langsung tidak terdetik untuk saya menafikan amalan mulia semua barisan doktor, jururawat, barisan hadapan termasuk Ketua Pengarah Kesihatan.

“Saya tidak mahu kerana saya, seluruh urusan Dewan Rakyat yang mulia ini terganggu,” katanya dalam kenyataan hari ini,

Baru-baru ini, King Sing yang juga Presiden Parti Demokratik Progesif (PDP) telah mengeluarkan kenyataan mempersoalkan Dr Noor Hisham kerana tidak banyak turun padang dalam menangani pandemik COVID-19 yang melanda negara terutama Sabah ketika ini.

Ketika itu, timbul istilah ‘takut mati’, merujuk kepada Noor Hisham yang lebih banyak di Ibu Pejabat antaranya kerana mengendalikan sidang media harian.

Noor Hisham dalam reaksi balasnya menjelaskan KKM telah mempunyai perancangan menangani COVID-19 di Sabah dan bukan kerana soal takut mati.

Noor Hisham juga menjelaskan yang pegawai-pegawai kanan KKM termasuk beliau ada turun padang meninjau situasi di Sabah dengan terbaru timbalannya sendiri minggu lalu.

Susulan kenyataan King Sing itu, salah seorang pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang juga Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah menenyifatkan kenyataan itu sesuatu yang tidak wajar.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.