Tak boleh bayar gaji kalau belanjawan tak lulus

1,134

15 NOV: Kerajaan tidak akan dapat membayar segala komitmen termasuk pembayaran gaji penjawat awam dan petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus memerangi COVID-19 sekiranya Belanjawan 2021 tidak mendapat sokongan majoriti ahli-ahli Parlimen.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, bagaimanapun beliau optimis belanjawan melibatkan perbelanjaan pengurusan dan pembangunan yang memfokuskan kepada usaha membantu rakyat dan pemulihan perniagaan serta ekonomi negara itu akan diluluskan.

“Bagi saya, kalau belanjawan ini dapat menolong negara kita, jadi tiada sebab untuk belanjawan ini tidak diluluskan dan ditolak (Dewan Rakyat).

“Kalau ditolak, dari segi ekonominya kita tidak dapat bayar komitmen kerajaan termasuk untuk membayar bantuan kepada rakyat,” katanya pada sidang media di Wisma Bernama semalam.

belanjawan

Pada 6 November lalu, Tengku Zafrul membentangkan Belanjawan 2021 dengan peruntukan terbesar dalam sejarah negara iaitu sebanyak RM322.5 bilion.

Sementara itu, kata beliau, kerajaan bersedia untuk memperluas jumlah pencarum yang layak bagi pengeluaran wang daripada Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Bagaimanapun, beliau berkata perkara itu masih dalam peringkat perbincangan dengan semua pihak terlibat khususnya KWSP.

Jelasnya, cadangan itu dibuat setelah mengambil kira keresahan rakyat yang terkesan dengan impak penularan COVID-19.

“Selepas rundingan itu selesai, kita perlu tunggu dalam beberapa hari lagi untuk saya serta KWSP umumkan berhubung usaha memperluaskan kepada lebih 600,000 rakyat menerima faedah ini. Kita juga akan jelaskan juga kenapa kita buat demikian,” katanya.

Belanjawan 2021 menyenaraikan kemudahan pengeluaran simpanan KWSP daripada Akaun 1 secara bersasar sebanyak RM500 sebulan dengan jumlah sehingga RM6,000 bagi tempoh 12 bulan bagi meringankan beban kewangan ahli-ahli yang terjejas.

Pada April lepas, KWSP telah memperkenalkan skim kemudahan pengeluaran i-Lestari yang membenarkan ahli membuat pengeluaran sebanyak RM500 sebulan selama tempoh 12 bulan dengan jumlah keseluruhan sehingga RM6,000, memberi manfaatkan kepada kira-kira 4.7 juta ahli dengan nilai RM11.6 bilion.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.