Tak semua tempat boleh pacak gerai – Annuar

130

15 NOV: Para peniaga yang merebut peluang menjana pendapatan menerusi inisiatif Wilayah Bebas Berniaga dinasihatkan supaya mematuhi peraturan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, nasihat yang sama diberikan kepada peniaga-peniaga muda di bawah Program Pembangunan Usahawan Anak Muda Kota.

Katanya, mereka juga perlu memberi kerjasama kepada Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) kerana pertubuhan tersebut turut memiliki kuasa memantau keadaan para peniaga.

“Mohon semua peniaga beri kerjasama kepada Majlis Perwakilan Penduduk sebab saya dah beri kuasa kepada mereka untuk menyelaras dan bantu PBT.

“Walaupun kita memberi peluang kepada para penjaja dan peniaga menjalankan perniagaan tapi saya nak mereka susun secara teratur dan patuh peraturan PBT,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Pemberian Lesen Penjaja di Desa Pandan pada Ahad dan menyampaikan lesen penjaja kepada 50 peniaga.

Program tersebut turut dimuat naik menerusi akaun Facebook, Kementerian Wilayah Persekutuan.

Jelas Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh, para peniaga dan penjaja boleh merujuk garis panduan dan peraturan berniaga di laman web Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Kena ingat bukan semua tempat boleh pacak gerai, kena membuat rundingan dengan MPP dan bekerjasama dengan DBKL.

“Bagaimanapun, saya gembira sebab sambutan menggalakkan malah dimaklumkan ada beberapa peniaga di luar Wilayah mulai datang ke sini untuk berniaga,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.