Rohingya: Beban tangani pelarian perlu dikongsi

79

15 NOV: Malaysia mahu tanggungjawab dan beban berhubung Rohingya dikongsi sama rata bagi mengatasi isu itu, sebagaimana digariskan Global Compact on Refugees (GCR).

Ini memandangkan kemampuan dan sumber semakin terhad, diburukkan lagi dengan penularan COVID-19.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Sidang Kemuncak ASEAN-Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-11 hari ini berkata, Malaysia tidak lagi berupaya menerima lebih ramai pelarian, kesan krisis di Rakhine, Myanmar itu terus mempengaruhi negara di rantau ini, termasuk Malaysia.

Delegasi Malaysia turut disertai Menteri Luar Negeri Datuk Seri Hishammudin Tun Hussein, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato Seri Mohamed Azmin Ali dan pegawai-pegawai kanan dari kedua-dua kementerian.

Perdana Menteri seterusnya dijadualkan untuk menyampaikan ucapan kepada pemimpin-pemimpin negara yang terlibat di dalam Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) sebelum menyaksikan upacara pemeteraian perjanjian tersebut.

Sidang kemuncak ASEAN ke-37 itu dipengerusikan Perdana Menteri Vietnam, Nguyen Xuan Phuc yang juga merupakan Pengerusi ASEAN 2020.

Memetik laporan Bernama, Perhimpunan Agung PBB menerima pakai GCR pada 17 Disember 2018, selepas dua tahun rundingan, diterajui Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR).

Ia merangkumi kerangka kerja mengenai pembahagian tanggungjawab sama rata, memandangkan penyelesaian yang mampan tidak dapat dicapai tanpa kerjasama antarabangsa.

Mengenai perjuangan Palestin, Muhyiddin berkata, kedudukan Malaysia dalam perkara ini tetap konsisten dan tidak berubah.

“Malaysia gesa PBB dan masyarakat antarabangsa untuk lebih mempertimbangkan dan melaksanakan langkah-langkah konkrit bagi meringankan penderitaan rakyat Palestin yang tertindas,” katanya.

Sidang Kemuncak ASEAN-PBB ke-11 diadakan pada hari terakhir Sidang Kemuncak ASEAN ke-37 turut disertai Setiausaha Agung PBB António Guterres.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.