RCEP ditandatangani selepas lapan tahun berunding

87

15 NOV: Malaysia hari ini memeterai Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) selepas perbincangan yang mengambil masa lapan tahun sejak tahun 2013.

Perdana Menteri berkata beliau sendiri meyaksikan upacara pemeteraian perjanjian bersejarah itu yang ditandatangani oleh Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali selepas Sidang Kemuncak RCEP ke-4 secara maya.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata langkah Malaysia menandatangani perjanjian berkenaan dijangka meningkatkan integrasi ekonomi serantau, mempromosikan aliran pelaburan dan memperkuat rantaian bekalan global.

“Malaysia, bersama ASEAN dan rakan perjanjian perdagangan bebas (FTA), ingin menunjukkan kepada dunia bahawa 15 buah negara dapat bersatu untuk membuat perjanjian perdagangan yang akan saling menguntungkan walaupun dengan tahap pembangunan ekonomi yang berbeza.

“Perjanjian FTA juga adalah jalan terbaik untuk membantu mempertahankan daya saing melalui promosi perdagangan antarabangsa, mendorong pelaburan dan memastikan pembangunan modal insan yang berterusan,” katanya dalam satu kenyataannya menerusi akaun Facebooknya di sini sebentar tadi.

Muhyiddin berkata kerajaan juga yakin bahawa Perjanjian RCEP sangat penting buat rantau ini menangani dan mengurus pandemik COVID-19 serta boleh membantu negara-negara ahli melakukan pemulihan ekonomi.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.