Akta 446: Penginapan pekerja asing aspek penting

172

15 NOV: Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan terus memperkasakan penguatkuasaan bagi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) dilaksanakan secara berterusan ke atas majikan.

Menterinya, Datuk Seri M Saravanan berkata, penguatkuasaan Akta 466 penting khususnya dalam usaha negara membanteras elemen buruh paksa yang merupakan salah satu daripada komponen di bawah jenayah pemerdagangan orang.

M SARAVANAN
PUTRAJAYA, 22 Jun — Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan pada sidang media Pelancaran Inisiatif PENJANA HRDF di Kementeriannya hari ini. — fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Saravanan berkata pematuhan secara komprehensif terhadap Akta 446 akan membuktikan bahawa Malaysia patuh terhadap piawaian yang digariskan oleh pihak Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dalam aspek membanteras elemen buruh paksa.

“Perkara ini amat signifikan kepada negara memandangkan penyediaan perumahan, penginapan dan kemudahan pekerja adalah antara elemen penting dalam kriteria buruh paksa.

“Aspek penginapan dan kediaman pekerja ini telah mendapat teguran daripada Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat khususnya membabitkan sektor pembuatan sarung tangan getah dan industri kelapa sawit negara,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Saravanan berkata pematuhan dan pelaksanaan Akta 466 juga secara tidak langsung akan membantu dalam menangani isu pemerdagangan orang dan penyeludupan migran di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Beliau berkata KSM juga memainkan peranan dalam membanteras pemerdagangan orang dalam kalangan komuniti industri buruh negara. Aktiviti penguatkuasaan secara berterusan dan ini jelas menunjukkan bahawa kementerian tidak akan berkompromi dalam isu buruh paksa
mahupun pemerdagangan orang.

“Bahkan, bagi tahun 2020, sebanyak 90 aktiviti pemeriksaan di bawah Operasi Bersepadu ATIPSOM yang melibatkan agensi seperti
MAPO, JKKP, PDRM, KKM, MITI, CIDB, PBT dan PERKESO telah dijalankan di seluruh negara.

“KSMturut mengambil inisiatif membentuk Jawatankuasa Teknikal Task Force yang mana objektif utama Task Force ini adalah menjurus kepada pematuhan perundangan dan dasar perburuhan negara dalam lima (5) sektor yang sering dikaitkan dengan buruh paksa,” katanya.

Berikutan itu KSM menegaskan bahawa pematuhan terhadap Akta 446 adalah amat penting dan sekali lagi menyeru agar majikan dan penyedia penginapan berpusat yang masih belum membuat permohonan Perakuan Penginapan segera berbuat demikian.

Penguatkuasaan Akta 446 yang bermula pada 1 September lalu, menetapkan keperluan kepada majikan dan penyedia penginapan berpusat untuk mendapatkan Perakuan Penginapan daripada Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM).

“Sejak 1 September 2020 juga, pihak JTKSM Ibu Pejabat dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Negeri telah melaksanakan penguatkuasaan menyeluruh bagi memastikan para majikan dan penyedia penginapan berpusat patuh terhadap Akta 446.

“Pelaksanaan penguatkuasaan yang berterusan sejak 1 September 2020 sehingga 1 November 2020 telah merekodkan permohonan perakuan penginapan yang memberangsangkan daripada pihak majikan dan juga penyedia penginapan berpusat,” katanya.

Saravanan berkata permohonan perakuan penginapan yang dicatatkan dalam tempoh 2 bulan ini adalah sebanyak 2,668 permohonan merangkumi 472 majikan dan 51 penyedia penginapan berpusat dengan sektor pembuatan menjadi penyumbang tertinggi iaitu sebanyak 1,562 permohonan.

Beliau berkata KSM melalui JTKSM dan JTK Negeri telah menjalankan sebanyak 1,322 aktiviti penguatkuasaan/pemeriksaan merangkumi 1,305 buah majikan dan juga 17 penyedia penginapan berpusat di seluruh Semenanjung Malaysia, sepanjang September hingga akhir Oktober lalu.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.