1,208 kes baru, 469 di KL

1,134

15 NOV: Kes baharu COVID-19 terus meningkat daripada 1,114 kes semalam kepada 1,208 kes hari ini dengan Kuala Lumpur mencatatkan penularan tertinggi hari ini melibatkan 469 kes.

Jumlah yang tinggi itu berikutan kes positif dari Kluster Tapak Bina Damanlela yang melaporkan sebanyak 460 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, secara keseluruhannya, jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 47,417 kes manakala, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula adalah 12,323 kes.

Menurut beliau, negeri Sabah mencatatkan sebanyak 381 kes daripada keseluruhan kes positif manakala negeri-negeri di Lembah Klang pula mencatatkan sebanyak 661 kes.

Katanya, daripada jumlah ini, sebanyak 594 kes adalah daripada kluster-kluster dengan kluster yang melaporkan kes yang tertinggi adalah Kluster Tapak Bina Damanlela iaitu sebanyak 460 kes.

“Selangor pula mencatatkan 185 kes baru COVID-19 manakala Negeri Sembilan mencatkan dua angka dengan 48 kes hari ini, diikuti Pulau Pinang, (42) Labuan (20), Perak (21), Johor (9), Kedah (8), Sarawak (4), Melaka (2), Kelantan (1), Putrajaya (1) dan Perlis (1).

“Hari ini juga terdapat enam kes import melibatkan ketibaan dari India (3), Bangladesh (1), Nepal (1) dan Indonesia (1),” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.

Tambah Noor Hisham, sehingga kini, terdapat 104 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 42 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Katanya, daripada maklumat terkini yang dilaporkan, dukacita dimaklumkan terdapat pertambahan tiga kes kematian berkaitan COVID-19.

“Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 309 kes.

“Ketiga-tiga kes kematian hari ini di Sabah iaitu dua dilaporkan di Hospital Sandakan manakala satu di Hospital Tawau yang melibatkan seorang kanak-kanak permpuan berusia lapan tahun,” jelasnya.

Tidak seperti dua lagi kematian yang dimaklumkan latar belakang komplikasi penyakit, kes kematian libatkan kanak-kanak rakyat Malaysia tersebut tidak dinyatakan.

Sementara itu, negeri-negeri yang turut melaporkan kes hari ini dua daripadanya tidak diletakkan di bawah PKPB iaitu Perlis dan Kelantan.

Terengganu dan Pahang pula mencatatkan sifar kes baru.

“KKM ingin memaklumkan bahawa pada hari ini, Malaysia mencatatkan bilangan kes pulih COVID-19 sebanyak 1,013 kes.

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 adalah 34,785 kes (73.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes),” katanya. -Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.