MB Selangor cari alasan tutup kelemahan

326

14 NOV: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari diingatkan supaya tidak memberi pelbagai alasan untuk menutup kelemahan pentadbirannya dalam isu pencemaran sungai dan krisis air di negeri itu.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, tindakan Amirudin mendakwa terdapat unsur sabotaj dalam isu tersebut seolah-olah ingin meletakkan beban kesalahan pada pihak lain.

“Biarlah polis siasat dan menahan mereka yang terlibat, tetapi persoalannya bagaimana individu berkenaan boleh ceroboh?” katanya melalui hantaran Facebook.

NOH OMAR
NOH OMAR

Semalam media melaporkan, Amiruddin mendakwa insiden pencemaran terbaharu melibatkan Sungai Selangor yang mengakibatkan gangguan bekalan air di banyak lokasi sekitar Lembah Klang sengaja dilakukan oleh pihak tertentu untuk menjejaskan imej kerajaan Pakatan Harapan (PH) Selangor.

Beliau membuat andaian itu berdasarkan maklumat premis yang disyaki menyebabkan pencemaran baru disewa selama dua minggu.

Krisis gangguan bekalan air tersebut mencetuskan kemarahan penduduk Lembah Klang yang kesal dengan kegagalan kerajaan PH Selangor menyelesaikan masalah pencemaran sungai.

Lebih memburukkan keadaan, terdapat banyak kilang haram beroperasi di lokasi-lokasi berhampiran sungai yang menjadi sumber bekalan air mentah.

Banyak pihak menuntut Amirudin meletak jawatan berikutan kegagalan pentadbirannya menyelesaikan isu yang berpanjangan sejak sekian lama itu. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.