Tingkat perbelanjaan kerajaan pulih ekonomi negara

118

13 NOV: Perbelanjaan kerajaan perlu ditingkatkan dan projek-projek dilaksanakan segera bagi memulihkan ekonomi yang terjejas akibat COVID-19.

Majlis Tindakan Ekonomi dalam satu kenyataan berkata, pandemik itu telah mengakibatkan perbelanjaan isi rumah, pelaburan pihak swasta dan perdagangan antarabangsa merosot dengan drastik.

Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi kelmarin turut mengambil maklum kepentingan untuk mempercepatkan pelaksanaan projek-projek pembangunan awam yang berimpak tinggi dan mempunyai kesan pengganda yang besar kepada ekonomi.

“Justeru, semua kementerian telah diminta agar memulakan pelan perolehan yang diumumkan dalam Belanjawan 2021 secepat mungkin bagi memastikan projek dapat dilaksanakan segera,” katanya.

Mesyuarat tersebut yang diadakan secara sidang video telah dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin turut menegaskan bahawa strategi pembangunan negara dan usaha merancakkan aktiviti ekonomi domestik perlu disusun semula, bagi memastikan pelaksanaan projek berimpak tinggi dapat disegerakan.

Menurut Majlis Tindakan Ekonomi, kerajaan sedar, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersasar (PKPB) yang berterusan di beberapa buah negeri dan wilayah telah mempengaruhi kegiatan ekonomi.

“Oleh itu, perbelanjaan pembangunan kerajaan harus memberi keutamaan kepada pelaburan yang mempunyai kesan pengganda yang tinggi dan nilai faedah terbaik bagi menyokong pemulihan ekonomi.

“Untuk itu, tatacara perolehan sedia ada perlu disemak kesesuaiannya dalam tempoh sukar ini bagi membolehkan pelaksanaan projek-projek berimpak tinggi untuk kepentingan awam berjalan mengikut jadual, sekali gus mengoptimumkan perbelanjaan kerajaan,” jelasnya.

Satu Jawatankuasa Pemudahcara yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki bin Ali bagi memantau pelaksanaan projek pembangunan dan membantu memudahkan proses-proses yang terbabit telah diwujudkan pertengahan Julai tahun ini.

Setakat ini, beberapa keputusan penting telah diambil oleh jawatankuasa tersebut seperti memastikan semua jabatan dan agensi kerajaan bertindak sebagai enabler dan peraturan sedia ada tidak melambatkan proses kerja dan penyelesaian projek dijadikan petunjuk prestasi utama (KPI) bagi semua Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua Perkhidmatan.

“Pelaburan syarikat awam bukan kewangan (NFPC) juga adalah penting dalam menyokong pertumbuhan ekonomi negara, terutamanya apabila pelaburan swasta tidak memberangsangkan pada masa ini.

“Sumbangan NFPC kepada jumlah pelaburan sektor awam telah semakin berkurang semenjak tahun 2017,” kata Majlis Tindakan Ekonomi.

Setakat 8 November lalu, kerajaan telah membelanjakan 80.62 peratus daripada peruntukan pembangunan kerajaan Persekutuan untuk tahun 2020 yang berjumlah RM64.96 billion.

Prestasi perbelanjaan peruntukan pembangunan tahun 2020 juga adalah lebih tinggi berbanding tahun 2019 berikutan pelaksanaan projek rangsangan ekonomi dan beberapa langkah lain yang telah diambil bagi mempercepatkan perbelanjaan pembangunan serta pelaksanaan projek-projek berskala kecil di bawah pakej rangsangan. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.