Pusat Aktiviti Warga Emas setiap kawasan Parlimen

97

13 NOV: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan mewujudkan Pusat Aktiviti Warga Emas di setiap kawasan Parlimen bagi memastikan keperluan golongan itu terpelihara.

Menterinya, Datuk Seri Rina Harun berkata, setakat ini terdapat sebanyak 150 Pusat Aktiviti Warga Emas di seluruh negara.

Menurut beliau, peruntukan dalam Belanjawan 2021 bagi pusat itu juga dinaikkan kepada RM50,000 setahun berbanding RM33,000 sebelum ini.

rina harun
RINA HARUN

“Kita akan perluaskan lagi pusat ini ke setiap Parlimen kerana seperti sedia maklum pada tahun 2030 negara kita terdiri daripada 15 peratus warga tua.

“Perlu kita buat persediaan dan kita mulakan dengan pusat aktiviti warga emas yang ada sekarang,” katanya pada sidang media khas di kementeriannya, malam tadi.

Dalam pada itu, Rina memberitahu bagi menggalakkan lebih ramai lagi sukarelawan, elaun bagi golongan tersebut turut dinaikkan.

Beliau berkata, kebiasaannya klien sukarelawan program itu terdiri daripada warga emas dan orang kurang upaya (OKU) terlantar.

“Elaun kepada sukarelawan Program Khidmat Bantu Di Rumah diberikan sebanyak RM400 dengan empat orang klien yang perlu dijaga.

“Jadi mereka akan mengunjungi rumah klien setiap minggu dengan membawa sedikit buah tangan atau barangan keperluan,” katanya.

Tambah beliau, ikatan antara sukarelawan dan klien dapat dilihat dalam sesi lawatan tersebut.

“Mungkin mereka kesunyian dan perlukan seseorang untuk meluahkan dan bercakap. Ini yang sukarelawan kita lakukan,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.