Pergerakan, kepadatan punca kes naik di Lembah Klang

102

13 NOV: Penularan di tempat kerja, kepadatan dan pergerakan yang tinggi dalam komuniti, menyumbang kepada peningkatan 2.5 kali ganda kes baharu COVID-19 di Lembah Klang hari ini berbanding semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah bagaimanapun berkata, keadaan penularan masih terkawal dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sekitar Lembah Klang sejak bulan lepas.

“Kalau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan seperti Mac lalu, ia akan menjejaskan ekonomi. Pelaksanaan PKPB ini dapat mengimbangi sektor ekonomi dan kesihatan setelah sektor sosial, sukan dan pendidikan dihadkan.

“Kepadatan penduduk di Lembah Klang dan pergerakan dari satu zon ke zon lain dalam negeri tersebut atau pergerakan merentas negeri, membimbangkan KKM,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Sementara itu, Noor Hisham menafikan MySejahtera digunakan untuk mengesan 400 individu yang’hilang’ dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Medan 88, Bandar Baru Salak Tinggi.

Beliau berkata, Mysejahtera ini adalah milik KKM dan aplikasi ini digunakan mendapatkan data jika ada kes positif COVID-19 untuk membantu pihak berkuasa menjalankan pengesanan aktif.

“Jika dilihat sebelum ini semasa Kluster Sri Petaling kita mendapatkan bantuan daripada polis untuk menjejaki mereka yang disyaki dan tidak menggunakan aplikasi MySejahtera untuk menjejaki.

“Jadi aplikasi ini hanya digunakan untuk pengesanan kes aktif iaitu akan menyimpan kerahsiaan dan kalau perlu baru kita akan gunakan data untuk kenal pasti kes,” katanya.

Dalam pada itu, jelas Noor Hisham, KKM tidak boleh menggunakan laman web untuk mempamerkan keputusan ujian COVID-19 individu kerana ia melanggar Akta Perubatan 1971 yang menggariskan peraturan supaya maklumat mengenai pesakit tidak boleh didedahkan.

Kata beliau, pihaknya mengakui Pusat Kesihatan Daerah (PKD) ketika ini menerima banyak panggilan telefon daripada orang ramai untuk mengetahui keputusan ujian COVID-19 mereka.

Menurutnya, keputusan ujian itu mengambil masa 48 jam ke 72 jam dan harap orang ramai dapat bersabar kerana PKD akan menelefon individu selepas keputusan diperoleh.

“PKD yang akan maklumkan kerana jika menggunakan laman sesawang akan ada isu kerahsiaan pesakit kerana kita tidak boleh pamerkan nama di laman itu untuk dilihat individu.

“KKM juga terikat dengan Akta Perubatan 1971 iaitu akta kerahsiaan pesakit sebab itu tidak boleh didedahkan di laman sesawang sebagai rujukan orang ramai,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.