Minta maaf selepas terlanjur, UMANY dituduh bacul

266

13 NOV: Persatuan Belia Baharu Universiti Malaya (UMANY) dikatakan bersikap bacul apabila meminta maaf dan menarik semula kenyataan yang mencetuskan kontroversi baru-baru ini.

Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Mohd Alif Anas Md Noor berkata, tindakan mereka itu seolah-olah seperti ‘baling batu sembunyi tangan’ selepas beberapa kali persatuan pelajar itu bertindak melampau dan berkelakuan biadab.

Pada masa yang sama, menurut beliau, UMANY cuba mengalihkan pandangan masyarakat yang mendakwa mereka adalah golongan yang ditindas apabila menuduh pihak polis menyalahgunakan kuasa dan bertindak melampaui hak asasi manusia.

MOHD ALIF ANAS MD NOOR
MOHD ALIF ANAS MD NOOR

“Ini adalah tindakan bacul dan sekali lagi mencabar prinsip kedaulatan undang-undang di dalam negara kita.

“Sudah sampai masanya tindakan seperti ini dihentikan melalui amalan undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan media menerusi Facebook miliknya, hari ini.

Mohd Alif bertegas, pihaknya tidak akan menarik balik laporan polis yang telah dibuat oleh semua cawangan dan ahli GPMS seluruh negara bersama-sama rakan-rakan NGO.

Beliau menambah, GPMS tetap dengan pendirian bahawa UMANY harus disiasat di bawah Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menyebar kebencian terhadap Yang di-Pertuan Agong.

“Kami juga menyeru pihak polis agar tidak tunduk dengan permintaan daif UMANY supaya pihak polis menghentikan siasatan. Siapa UMANY untuk menentukan gerak kerja dan siasatan pihak polis?.

“Jika tindakan tidak diambil oleh pihak berkuasa, GPMS bimbang lebih ramai individu mahupun kumpulan-kumpulan pelampau seperti UMANY akan membuat kenyataan-kenyataan yang menghina dan mempersenda isu-isu sensitif seperti ini,” katanya.

Sementara itu, GPMS juga telah menghantar surat rasmi kepada Timbalan Naib Canselor Universiti Malaya (UM) pada 2 November lalu supaya UM mengambil tindakan mengharamkan UMANY.

“GPMS merasakan bahawa tidak perlu ada persatuan pelampau yang mampu merosakkan akal waras mahasiswa dan tidak beradab. Kerana ia jelas bertentangan dengan prinsip kelima dalam Rukun Negara yang menjadi tunjang keharmonian masyarakat selama ini,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.