Lebih baik haramkan terus UMANY

1,363

13 NOV: Kerajaan dan Universiti Malaya (UM) wajar mengharamkan terus Persatuan Belia Baharu UM (UMANY) kerana ‘derhaka’ kepada Yang di-Pertuan Agong dan mencemarkan nama universiti awam.

Penganalisis politik, Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata beliau berpandangan UM juga wajar mengambil tindakan disiplin dan membuang semua ahli UMANY dari universiti berkenaan.

Menurut beliau, apabila UM mengeluarkan kenyataan untuk menyiasat, UMANY telah mengeluarkan satu kenyataan balas bagi mengutuk UM dengan khususnya mendakwa UM hanya mengejar kedudukan di dunia semata-mata.

kamarul zaman yusoff
KAMARUL ZAMAN YUSOFF

Tambahan pula, Kamarul berkata UMANY juga mendakwa UM menindas kebebasan akademik secara terbuka dan hanya cantik di luar tetapi buruk di dalam, selain tindakan ini akan terus menjadikan UM sebagai bahan ketawa seluruh dunia.

“Sebagai rekod, UMANY tidak pernah menarik balik kenyataan lancangnya ini dan tidak pernah memohon maaf daripada UM atas kenyataannya ini.

“Tak tahu apa nak katalah kalau UM mahu terus menyimpan persatuan dan orang biadab seperti ini di dalam kampusnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Kamarul menyifatkan permohonan maaf UMANY sebelum ini umpama memberi madu bersalut racun dan tidak patut dilayan memandangkan ia adalah tindakan terdesak UMANY yang sedang tersepit kerana masih membuat tuntutan berkait Yang di-Pertuan Agong.

Beliau yang juga pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata beliau melihat pemohonan maaf UMANY itu adalah ‘bermata dua’ dan mahu hukuman berat sewajarnya diberikan sebagai pengajaran kepada mereka.

“Disebabkan permohonan maaf (itu dinyatakan) adalah atas ‘kekurangan pemahaman mereka terhadap Perlembagaan’, UMANY seharusnya menyatakan komitmen untuk mempelajari Perlembagaan dan mengelakkan diri dari membuat sebarang komen mengenai Perlembagaan sehingga mereka sudah benar-benar faham Perlembagaan, tetapi ini malangnya tidak mereka lakukan.

“Disebabkan permohonan maaf adalah pengakuan mengenai perlakuan salah, UMANY seharusnya menyatakan kekesalan atas perlakuan salah ini dan menyatakan kesediaan untuk menerima apa-apa hukuman ke atasnya.

“Atau paling tidak membuat rayuan supaya hukuman ke atas mereka dapat diringankan atas faktor tertentu, tetapi ini malangnya tidak juga mereka lakukan,” ujar beliau merujuk permohonan maaf UMANY yang dikatakan setelah merujuk ‘nasihat daripada ahli-ahli pakar Perlembagaan’.

Kumpulan mahasiswa itu sebelum ini bukan sahaja memuat naik sebaran mengenai demonstrasi di Thailand yang dilihat berunsur hasutan, malah juga kenyataan bahawa ‘YDPA tidak wajar masuk campur urusan hal ehwal negara’.

Mengulas lanjut Dr Kamarul, berkata permohonan maaf seharusnya dibuat dengan seikhlas hati tanpa pengenaan sebarang syarat mahupun apa-apa tuntutan kepada pihak yang mereka mohon maaf, tetapi malangnya tidak dilakukan UMANY.

Sebaliknya kesali beliau, UMANY dalam memohon maaf itu menuntut pihak polis menghentikan segala siasatan terhadap ahli-ahli mereka di samping menuntut pemansuhan Akta Hasutan dan Akta Komunikasi dan Multimedia yang dikatakan ‘undang-undang zalim’ oleh mereka.

Dalam pada itu Dr Kamarul, menjelaskan bahawa UMANY kini mengakui telah melakukan kesalahan di sudut undang-undang, namun motif memohon maaf itu untuk mengelakkan dari dikenakan tindakan undang-undang.

“Mengakui tidak faham Perlembagaan itu adalah satu perkara yang bagus, tetapi ia bukanlah satu alasan yang membolehkan tindakan tidak diambil ke atas pencabulan Perlembagaan.

“Hukuman berat wajar dikenakan ke atas UMANY bagi memberi pengajaran kepada mereka dan pihak-pihak yang sealiran dengan mereka mengenai kepentingan memahami dan mendaulatkan Perlembagaan,” gesa beliau.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.