Itu video lama, sambutan Thaipusam bukan Deepavali

131

13 NOV: Polis Selangor menafikan satu video sambutan Deepavali yang didakwa melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang tular baru-baru ini.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan ke atas individu yang menyebarkannya.

“Video yang tular hari ini, kita percaya boleh menimbulkan isu perkauman, video itu kononnya satu sambutan perayaan Deepavali di Batu Caves.

“Sebenarnya video yang tular itu adalah video lama perayaan Thaipusam yang diadakan di Batu Caves sebelum PKPB lagi.

“Bagaimanapun video itu disebarkan semula oleh mereka yang tidak bertanggungjawab dan dengan kapsyen yang boleh menimbulkan keresahan hati antara kaum,” katanya salam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor hari ini.

Arjunaidi berkata, polis menyeru orang ramai agar tidak mudah percaya dakwaan yang dibuat pihak tidak bertanggungjawab itu.

“Saya harap orang ramai tidak percaya dengan video terbabit kerana jika ditonton video itu adalah jelas ianya satu sambutan yang dibuat sebelum PKPB,” katanya.

Difahamkan, individu yang memuat naik video itu mendakwa ia satu program keagamaan diadakan di Kuil Batu Caves semalam yang dikatakan melanggar SOP PKPB.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Arifai Tarawe dalam satu kenyataan mengesahkan tiada program diadakan pada tarikh berkenaan.

“Hanya pada 19 September lalu, program secara tertutup diadakan dalam kawasan kuil yang mana ketika itu program keagamaan dibenarkan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP),” ujarnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.