Mustang bawa dadah, usahawan kosmetik ditahan

393

13 NOV: Polis menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah rentas negara dengan penahanan ketuanya yang juga seorang usahawan kosmetik dan merampas dadah jenis syabu bernilai RM5 juta pada Selasa lepas.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, usahawan dari Kelantan dan adiknya yang juga seorang anggota tentera masing-masing berumur 31 dan 25 tahun itu ditahan kira-kira pukul 4.30 petang di tepi jalan di Taman Serdang Perdana, Sri Kembangan.

“Hasil pemeriksaan ke atas sebuah kereta mewah jenis Ford Mustang yang dinaiki kedua-dua suspek, polis menjumpai 120 bungkusan teh cina mengandungi dadah jenis syabu seberat 126.86 kilogram bernilai RM5 juta.

“Susulan tangkapan itu, polis menahan dua lelaki tempatan dan seorang lelaki warga Indonesia berumur antara 32 tahun ke 43 tahun kerana dipercayai menjadi orang tengah dalam urusan jual beli dadah berkenaan,” katanya pada sidang media hari ini.

Arjunaidi berkata, siasatan mendapati suspek seorang usahawan kosmetik di Kelantan dan menggunakan gelaran ‘Datuk Seri’, manakala adiknya seorang anggota tentera berpangkat biasa dan bertugas di Kuala Lumpur.

“Pada kad perniagaan suspek pertama, menyatakan dia ‘Datuk Seri’ tetapi semakan mendapati namanya tiada. Kemungkinan dia menggunakan gelaran itu secara tidak sah, polis masih lagi menyiasat.

“Kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya.

Kata Arjunaidi, dalam tangkapan kedua itu, polis merampas tiga kereta iaitu Nissan Almera, Toyota Innova dan Honda HRV.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati modus operandi sindiket berkenaan adalah dengan menyeludup dadah dari negara jiran di utara tanah air sebelum menjualnya ke negara jiran lain dan menjadikan Malaysia sebagai lokasi transit.

Kata Arjunaidi lagi, melalui siasatan awal juga, sindiket berkenaan disyaki beroperasi sejak lima bulan lepas namun berdasarkan transaksi kewangan syarikat milik suspek utama yang mendakwa dirinya seorang “Datuk Seri”, polis percaya mereka menjalankan aktiviti itu dalam tempoh lebih lama.

“Ujian saringan air kencing terhadap usahawan berkenaan dan adiknya didapati negatif manakala tiga lagi suspek positif dadah selain mempunyai pelbagai rekod kesalahan lampau.

Kesemua suspek direman sehingga Selasa depan dan disiasat mengikut Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.