Empat kluster baru, dua berkait tempat kerja

194

13 NOV: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti empat lagi kluster COVID-19 melibatkan dua di Sabah dan masing-masing satu di Sarawak dan Melaka.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster pertama ialah Kluster Bonggaya di Sandakan dengan kes indeks bagi kluster ini telah dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan komuniti pada 27 Oktober lalu dan telah dimasukkan ke Hospital Duchess of Kent.

Katanya, saringan kontak rapat kemudian telah mengesan sebanyak 45 lagi kes positif COVID-19 dan kesemua kes ini telah dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah, Dewan Kompleks Sukan Sibuga, Sandakan.

“Sehingga 12 tengah hari ini, sejumlah 243 individu telah disaring, di mana 46 kes dikesan positif COVID-19
manakala 74 individu masih menunggu keputusan,” katanya dalam sidang akhbar di Putrajaya hari ini.

Sementara itu, kluster kedua juga di Sandakan iaitu Kluster Jambatan B dengan kes indeks bagi kluster ini dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan individu bergejala pada 17 Oktober.

Menurut beliau, saringan kontak rapat dan komuniti setempat telah mengesan sebanyak 52 lagi kes positif COVID-19 dan kesemua kes telah dimasukkan ke Hospital Duchess of Kent, Sandakan dan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah COVID-19, Dewan Kompleks Sukan Sibuga.

Katanya, sehingga 12 tengah hari tadi, sejumlah 201 individu telah disaring, di mana 53 kes dikesan positif manakala 30 individu masih menunggu keputusan.

“Kluster ketuga ialah Kluster Abell di daerah Kuching dan kes indeks bagi kluster ini telah dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan kendiri pada 10 November 2020.

“Saringan kontak rapat telah mengesan sebanyak 13 lagi kes positif COVID-19. Kesemua kes telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak.

“Setakat 12 tengah hari ini, sejumlah 70 individu telah disaring, di mana 14 kes dikesan positif COVID-19 (10 kes baharu); 13 individu dikesan negatif dan 43 individu masih menunggu keputusan,” jelasnya.

Dalam pada itu, kluster keempat ialah Kluster BMU melibatkan daerah Jasin di negeri Melaka dengan kes indeks bagi kluster ini telah dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan individu bergejala pada 11 November dan telah dimasukkan ke Hospital Melaka.

“Saringan kontak rapat telah mengesan sebanyak sembilan lagi kes positif COVID-19. Sehingga 12 tengah hari, sejumlah 69 individu telah disaring, di mana 10 kes dikesan positif COVID-19 dan 59 individu masih menunggu keputusan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Noor Hisham memaklumkan daripada 158 kluster aktif COVID-19, sebanyak 65 kluster atau 41.1 peratus adalah berkaitan dengan tempat kerja termasuk dua kluster baharu diumumkan pada hari ini.

Kata beliau, sebanyak 5,681 kes positif COVID-19 yang berkaitan kluster tempat kerja adalah melibatkan 3,369 warganegara dan 2,312 lagi bukan warganegara.

“Ini adalah hasil tindakan proaktif majikan yang turut sama menjalankan saringan COVID-19 terhadap pekerja-pekerja mereka.

“Pihak majikan juga diingatkan untuk memastikan pekerja mereka mematuhi segala SOP yang ditetapkan termasuk menjaga kebersihan di kawasan penginapan dan tempat tinggal. Didapati risiko penularan adalah tinggi bagi kawasan penginapan yang sesak dan sempit,” katanya.

Pada hari ini, juga katanya, terdapat 33 kes berkaitan kluster-kluster di Pusat Tahanan Sementara (PTS) dan penjara.

“Ini melibatkan Kluster Penjara Seberang Perai (20 kes), Kluster Penjara Kepayan (8 kes), Kluster Rumah Merah (3 kes) dan Kluster Tembok (2 kes),” ujarnya. -Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.