Tun M bantah bantuan tunai penjawat awam

5,044

12 NOV: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mempertikaikan kewajaran kerajaan memberikan bantuan wang tunai secara sekali bayar kepada penjawat awam dari Gred 56 ke bawah, pada awal tahun depan, menerusi Belanjawan 2021.

Ahli Parlimen Bebas Langkawi itu berkata, kerajaan tidak perlu berbuat demikian kerana penjawat awam masih lagi menerima gaji penuh biasa dan tidak dibuang kerja.

“Kita dapat kerajaan dengan mudahnya melanjutkan ‘lock down’ atau perintah berkurung dan menjejaskan pemulihan ekonomi serta menekan rakyat yang miskin sehingga ada yang kehilangan pekerjaan sama sekali.

“Mereka tidak dapat makan sebaliknya ramai orang bergaji terus mendapat gaji penuh dan biasanya gaji kebanyakan mereka lebih tinggi daripada menampung keperluan hidup.

“Kerajaan pula akan menambah RM500 lagi sekali gus kepada mereka (penjawat awam). Apa perlunya kerajaan menambah pendapatan mereka apabila gaji mereka lebih daripada mencukupi membiayai keperluan hidup mereka?” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021 dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menambah, kerajaan sepatutnya memberikan bantuan sekali bayar berkenaan kepada mereka yang hilang pekerjaan dan hilang pendapatan sama sekali kerana mereka tidak mendapat membiayai kos pembelian makanan harian mereka.

“Tindakan itu perlu kerana ada ramai yang tiada pendapatan sama sekali kerana tiada pekerjaan atau tidak dapat berniaga lagi dan keadaan itu menyebabkan keluarga mereka akan turut menderita,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.