Tinggal 6 peratus belum terima bekalan

35

12 NOV: Sebanyak 94 peratus kawasan yang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual sekitar Lembah Klang, telah menerima bekalan air sepenuhnya setakat jam 9 malam tadi.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam satu kenyataan memaklumkan, baki 80 kawasan akan menerima bekalan air secara berperingkat.

“Air Selangor amat menghargai bantuan daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang telah menghantar bantuan lori tangki (air), antaranya Majlis Perbandaran Sepang (MPS), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Perbandaran Kelana Jaya (MPKJ) dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) ke kawasan yang terjejas.

“Pengguna juga boleh mendapatkan bekalan air alternatif melalui pili-pili awam dan Pusat Khidmat Setempat (PKS) yang masih lagi disediakan,” menurut kenyataan itu.

Maklumat mengenai pemulihan bekalan air itu akan dimaklumkan dari semasa ke semasa menerusi semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram, aplikasi Air Selangor dan laman sesawang di www.airselangor.com.

Pada Selasa, Air Selangor memaklumkan henti tugas LRA Rantau Panjang serta SSP 1, 2 dan 3 menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual melibatkan 1,139,008 akaun pengguna di Lembah Klang berikutan pencemaran sumber air mentah.

Gangguan bekalan itu merangkumi 1,279 kawasan di Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.