Tanpa subsidi, pengusaha kantin sekolah gulung tikar

221

12 NOV: Kerajaan digesa supaya memberi perhatian kepada golongan M40 termasuk pengusaha kantin sekolah yang terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) hampir di seluruh negara.

Ahli Parlimen BN Jelebu, Datuk Jalaluddin Alias berkata, walaupun kantin tidak beroperasi berikutan penutupan sekolah, pengusaha kantin masih perlu membayar gaji pekerja.

Menurut beliau, golongan tersebut terpaksa mengeluarkan modal yang besar dari dana sendiri kerana mereka tidak menerima sebarang subsidi daripada kerajaan.

JALALUDDIN ALIAS
JALALUDDIN ALIAS

“Saya fikir hampir 10,000 pengusaha kantin di seluruh negara yang kita khuatir gulung tikar hasil tekanan COVID-19.

“Ini adalah antara contoh golongan yang harus diberi perhatian oleh pihak kerajaan,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Jalaluddin menambah, golongan M40 dan T20 juga boleh menanggung kesan sekiranya situasi COVID-19 berpanjangan di negara ini.

Beliau memberitahu, mereka mungkin tidak dapat meneruskan aktiviti perniagaan masing-masing.

“Saya sangat khuatir B40 akan menjadi B50, M40 akan M30 atau M20 dan T20 hampir pupus,” jelasnya. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.