SPAN nafi dakwaan Exco Selangor

80

12 NOV: Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menafikan dakwaan pihaknya dan Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd lambat bertindak menangani kejadian penemuan efluen asing di loji rawatan kumbahan (LRK) Taman Velox, Rawang, Selangor pada 4 November lepas.

SPAN dalam kenyataan hari ini berkata, penemuan efluen asing itu bukanlah punca pencemaran yang menyebabkan penutupan empat loji rawatan air (LRA) pada Selasa lepas yang mengakibatkan gangguan bekalan air tidak berjadual di Lembah Klang.

Menurut kenyataan itu, SPAN telah mengarahkan IWK untuk menghentikan operasi di LRK tersebut pada 5 November dan turut mengarahkan agar tiada sebarang efluen dilepas keluar dari premis berkenaan ke Sungai Gong.

“Pihak IWK dengan bantuan SPAN telah turut menjalankan siasatan sumber pencemaran terhadap premis perindustrian berhampiran dan sisa efluen dari dua syarikat telah diambil untuk tujuan persampelan pada hari sama,” katanya.

Selain itu, katanya, IWK turut mengeluarkan notis makluman kepada pihak berkuasa tempatan serta Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor pada 4 November bagi memaklumkan situasi pencemaran efluen di LRK Taman Velox, selain membuat laporan polis pada 5 November agar siasatan terperinci dapat dilakukan.

SPAN berkata demikian sebagai mengulas dakwaan exco Selangor Hee Loy Sian pada sidang Dewan Undangan Negeri Selangor semalam yang mengaitkan pencemaran bau yang menyebabkan penutupan empat LRA berkenaan dengan tindakan lewat pihak IWK dan SPAN.

Mengenai kejadian pencemaran bau air mentah di Sungai Selangor yang menyebabkan gangguan bekalan air, SPAN berkata, ia dikesan pasukan penguat kuasa Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) sekitar 12.20 tengah hari Selasa.

Serentak dengan penemuan itu, kata kenyataan itu, semua agensi penguat kuasa berkaitan termasuk SPAN telah turun padang mencari punca pencemaran.

“Tindakan bersepadu melibatkan pelbagai agensi tersebut telah membuahkan hasil apabila premis yang disyaki punca (pencemaran) telah ditemui pada malam hari yang sama dan kesemua empat loji rawatan air (LRA) kembali beroperasi kurang 15 jam dari waktu ianya mula dihenti tugas,” katanya.

Pada Selasa, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan LRA Rantau Panjang dan Sungai Selangor Fasa (SSP) 1, 2 dan 3 dihenti tugas berikutan pencemaran sumber air mentah yang menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual melibatkan 1,139,008 akaun pengguna di Lembah Klang.

Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang dilaporkan berkata pencemaran itu dipercayai berpunca dari kawasan industri kecil dan sederhana di Taman Velox, Rawang.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.