Satu kluster baru, Cergas di NS tertinggi

756

12 NOV: Tidak seperti beberapa hari lalu, hari ini hanya satu kluster baru COVID-19 dilaporkan melibatkan Kluster Teluk di Kota Kinabalu, Sabah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tiga kes indeks bagi kluster ini telah dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan di tempat kerja pada 9 dan 10 November lalu.

Menurut beliau, saringan kontak rapat telah mengesan sebanyak 27 lagi kes positif COVID-19 dan kesemua kes telah dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth dan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah Bangunan Kompleks Sukan Likas.

“Sehingga jam 12 tengah hari ini, sejumlah 128 individu telah disaring, di mana 30 kes dikesan positif COVID-19 (27 kes baharu); 97 individu dikesan negatif; dan satu individu masih menunggu keputusan,” katanya dalam sidang akhbar di Putrajaya hari ini.

Sementara itu, kata Noor Hisham, tiga kluster diisytiharkan tamat pada hari ini yang menjadikan keseluruhannya 133 kluster telah ditawatkan pengawasan setakat ini.

“Kluster pertama yang ditamatkan ialah Kluster Pulau di Sabah diikuti Kluster Bah Rose melibatkan negeri Kedah dan Pulau Pinang.

“Kluster ketiga yang ditamatkan ialah Kluster Bah Ketil di Kedah. Ketiga-tiga kluster ini tidak melaporkan kematian,” jelasnya.

Sementara itu, kata Noor Hisham, sehingga tengah hari ini sebanyak 157 kluster masih dikategorikan aktif.

Katanya, daripada jumlah itu, 42 kluster melaporkan pertambahan kes hari ini dengan yang tertinggi ialah Kluster Cergas di Negeri Sembilan dan Pasir putih, Kelantan melibatkan 221 kes.

Katanya, kluster tersebut melibatkan sebuah kilang di Seremban dan kilang berkenaan berhampiran Kluster Sofi dan mungkin ada jangkitan berlaku di kawasan tersebut.

Ujar beliau, kawasan berkenaan tidak dibuat PKPD kerana semua pekerja kilang telah disaring dan tindakan nyah kuman juga dibuat di asrama pekerja dengan kilang berkenaan telah henti operasi.

“Kluster Kaya pula melibatkan pekerja kargo dan staf Pos Malaysia dengan saringan telah dijalankan ke atas mereka yang terlibat.

“Kluster-kluster di Selangor seperti Hentian dan Utama pula terus melaporkan kes baru masing-masing dengan sembilan dan lima kes.

“Kluster-kluster di Pusat Tahanan Sementara (PTS) dan penjara pula melaporkan 13 kes hari ini. Ini melibatkan Kluster Penjara Seberang Perai (12) dan Kluster PTS Tawau, satu kes,” ujarnya. -Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.