PKPD: Polis boleh tangkap majikan bawa lari pekerja

175

12 NOV: Polis Diraja Malaysia (PDRM) diarahkan menangkap mana-mana majikan yang bersubahat membawa pekerja warga asing keluar dari zon Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Medan 88 Sepang.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, terdapat majikan yang menyediakan bas untuk tujuan tersebut.

Menurut beliau, usaha mengesan kira-kira 400 individu yang keluar dari zon PKPD tersebut adalah lebih mudah kerana ia boleh dilakukan melalui majikan.

ISMAIL SABRI YAAKOB
ISMAIL SABRI YAAKOB

“Kita dah putuskan tindakan bukan sahaja diambil terhadap pekerja-pekerja yang lari, majikan yang bersubahat pun kita mesti ambil tindakan.

“Dia menyusahkan pihak penguat kuasa malah boleh membahayakan nyawa orang lain,” katanya dalam sidang media di Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri memberitahu, PDRM telah menahan seramai 431 individu semalam atas kesalahan ingkar arahan prosedur operasi standard (SOP).

Beliau menambah, seramai 413 individu telah dikompaun manakala 17 direman dan seorang dijamin.

“Antara kesalahan ingkar SOP termasuk tidak memakai pelitup muka (101), gagal menyediakan peralatan/merekod butiran diri (78), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (72), aktiviti pusat hiburan (42), premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (40) dan lain-lain (98),” jelasnya.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, pasukan keselamatan berjaya menahan seramai 31 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan seorang tekong serta merampas dua buah kenderaan darat dalam Op Benteng semalam.

Beliau turut mengumumkan PKPD di tiga lokaliti di Kudat iaitu Kampung Pengaraban, Kampung Tanjung Kapor dan Kampung Landung Ayang dilanjutkan dua minggu lagi mulai 13 hingga 26 November. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.