Pengarah Pendakwaan Selangor timbang kes YB Rara

96

12 NOV: Polis sudah menyerahkan kertas siasatan berhubung kes pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) membabitkan Ahli Dewan Undangan (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman atau lebih dikenali sebagai Rara kepada Pengarah Pendakwaan Selangor, hari ini.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, ADUN DAP Pahang itu sudah dipanggil untuk direkodkan keterangannya pada Selasa lalu.

Menurut beliau, polis akan menjalankan siasatan seterusnya sekiranya menerima arahan lanjut daripada Pengarah Pendakwaan.

Katanya, berdasarkan kepada gambar yang tular itu, terdapat lima individu atau ada individu keenam yang menjadi saksi dan mengambil gambar berkenaan.

“Kita serahkan kepada Pengarah Pendakwaan dan sekiranya diarah meneruskan siasatan lanjut kita akan siasat,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Bencana Daerah Sepang, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Bandar Baru Salak Tinggi, hari ini.

Terdahulu gambar perkelahan Young Syefura dan lima rakannya di Sepang viral di media sosial sehingga mengundang kecaman kerana tidak mengamalkan SOP.

Wan Kamarul berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Get real time updates directly on you device, subscribe now.