KP dan semua warga KKM beri komitmen terbaik

326

12 NOV: Tindakan mempertikaikan tanggungjawab dan amanah dilaksanakan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah adalah tidak bertanggungjawab serta tidak masuk akal.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkataa, beliau terkejut apabila terdapat pihak tertentu sama ada orang awam mahupun ahli politik yang mempertikaikan kredibiliti Dr Noor Hisham dalam membanteras pandemik COVID-19.

“Jika kita merujuk kepada petugas barisan hadapan, Dr Noor Hisham merupakan orang nombor satu atau paling depan dalam barisan hadapan yang ‘berperang’ dengan virus COVID-19 selama ini.

“Beliau (Dr Noor Hisham) telah mendedikasikan sebahagian besar kehidupannya dalam menjaga aspek kesihatan rakyat di negara ini dan bukan hanya ketika wabak COVID-19 melanda sahaja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata semua pihak di Kementerian Kesihatan termasuk Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dan Dr Noor Hisham akan mengadakan mesyuarat, berbincang dan bertukar idea setiap hari bagi mencari penyelesaian membanteras penularan wabak itu.

“Semua pihak memberi komitmen sepenuhnya dan apatah lagi Dr Noor Hisham sebagai Ketua Pengarah pastinya mesti menunjukkan contoh terbaik kepada warga kesihatan lain,” katanya.

Semalam, Ahli Parlimen Bintulu Datuk Tiong King Sing mempersoal mengapa Dr Noor Hisham tidak turun padang untuk melihat sendiri situasi COVID-19 di lapangan, sebaliknya hanya membuat sidang media setiap hari melalui siaran langsung di televisyen.

Sewaktu itulah timbul soal tidak ke lapangan sama ada kerana ‘takut mati’ yang sekali gus mengundang kontroversi.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.