Biadab kata Speaker ‘bodoh’, Lim Lip Eng dihalau

2,857

12 NOV: Ahli Parlimen PH Kepong, Lim Lip Eng diusir dari sidang Dewan Rakyat hari ini kerana bersikap biadab memanggil Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun sebagai ‘bodoh’.

Pemimpin DAP itu juga berdegil enggan keluar dewan apabila diminta oleh bentara berbuat demikian sehingga menyebabkan Azhar bertegas untuk mendapatkan bantuan polis.

Beliau tidak dibenarkan menghadiri sidang Dewan Rakyat selama lima hari bermula hari ini.

Sebelum itu, situasi panas tercetus selepas sesi soal jawab berakhir apabila beberapa Ahli Parlimen pembangkang termasuk Ahli Parlimen PH Bagan, Lim Guan Eng mendesak Ahli Parlimen GPS Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing meminta maaf atas kenyataan mendakwa Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah ‘takut mati’.

King Sing berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) dalam sidang Dewan Rakyat, semalam.

Azhar cuba menenangkan kembali keadaan dengan menyatakan bahawa hasil penelitiannya, beliau tidak boleh mengeluarkan petua kerana telah diputuskan semalam oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said berdasarkan Peraturan 43 Perarturan Mesyuarat Dewan.

Kenyataan itu membuatkan Lip Eng bangkit dengan menyatakan bahawa itu merupakan satu petua yang bodoh sehingga menyebabkan suasana dalam sidang semakin panas dengan pertikaman lidah antara blok penyokong kerajaan dan pembangkang.

Ketika Azhar cuba memberi penjelasan, Lip Eng tetap berdegil mengganggu sehingga menyebabkan Yang Dipertua Dewan Rakyat itu memberi amaran sebanyak tiga kali dan meminta pemimpin DAP tersebut duduk.

Namun, Lim Eng tidak menghiraukan amaran berkenaan dan berterusan menimbulkan kekecohan sehingga mengganggu ucapan Azhar.

“Saya perhalusi hansard, masalahnya Timbalan Yang Dipertua bukan sahaja sekali berkata malah sudah dua tiga kali, kuasanya seperti Speaker. Dia pengerusi ketika dia berada di kerusi tersebut yang telah buat ruling.

“Ikut Peraturan 43 saya tak boleh buat overule tak bagus dan tak baik kerana ruling itu telah dibuat oleh Timbalan Speaker. Ikut Peraturan 43 kalau ruling itu dibahas semula, satu usul persendirian terpaksa dibuat. Jadi, saya terikat dengan perkara ini,” katanya.

Lip Eng akhirnya akur dengan arahan keluar dewan dan sidang diteruskan dengan perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) oleh Ahli Parlimen Bebas Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.