919 kes baru, 996 kes sembuh

270

12 NOV: Sebanyak 919 kes baru COVID-19 dilaporkan hari ini dengan Lembah Klang dan Negeri Sembilan menyumbangkan lebih separuh penularan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, walau bagaimanapun Sabah masih mencatatkan kes tertingi dengan 319 kes.

Menurut beliau, ini diikuti Negeri Sembilan dengan 240 kes yang sebahagian besar disumbang oleh kes daripada kluster-kluster sedia ada.

Katanya, di Lembah Klang pula, Selangor merekodkan 174 kes manakala Kuala Lumpur mencatatkan 49 kes, diikuti Putrajaya dengan satu kes.

“Kes sembuh yang dicatatkan hari ini pula mencecah 996 kes, mengatasi jumlah kes baharu.

“Jumlah kes positif yang direkodkan di Malaysia setakat ini pula adalah sebanyak 43,791 kes manakala kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 yang sedang dirawat pula sebanyak 11,419 kes,” katanya dalam sidang akhbar di Putrajaya.

Tambah Noor Hisham, bilangan individu positif COVID-19 yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah seramai 92 kes dengan 35 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Katanya, dukacita dimaklumkan kes kematian akibat COVID-19 bertambah satu lagi kes menjadikan keseluruhannya sebanyak 303 kematian.

“Kes kematian tersebut dilaporkan di Hospital Tawau, Sabah melibatkan seorang lelaki berusia 66 tahun.

“Selain itu, hari ini juga merekodkan tiga kes import iaitu dua di Kuala Lumpur dan satu di Sabah melibatkan ketibaan dari Arab Saudi, Nigeria dan Indonesia,” jelasnya.

Sementara itu, katanya, turut melaporkan kes hari ini Pulau Pinang dengan 63 kes, Labuan (35), Perak (9), Sarawak (8), Johor (8), Melaka (8), Kedah (3) dan Kelantan (2).

Selain tiga negeri di Semenanjung yang tidak diletakkan di bawah PKPB, Terengganu juga tidak melaporkan sebarang kes baru hari ini. -Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.