Video tular niat jahat cemar nama PDRM

892

11 NOV: Dakwaan dalam rakaman video yang tular dalam media sosial sejak semalam kononnya polis mengeluarkan saman kepada seorang pemandu kerana isterinya duduk di kerusi hadapan kereta adalah tidak benar.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebaliknya, tindakan itu diambil kerana pemandu terbabit menggunakan telefon bimbit semasa memandu.

Menurut beliau, kisah sebenar tentang kejadian itu telah dimaklumkan sendiri oleh pengurusan tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM).

ISMAIL SABRI YAAKOB
ISMAIL SABRI YAAKOB

“Video itu adalah berniat jahat untuk merosakkan nama baik polis,” katanya dalam sidang media di Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur, hari ini.

Difahamkan, kejadian itu berlaku di Melaka dan polis sedang mengesan pemilik akaun Facebook ‘Eric Chia’ yang menularkan rakaman video tersebut.

Ismail Sabri juga kesal kerana individu terbabit seolah-olah cuba menggambarkan polis sebagai kejam kerana tidak menggunakan budi bicara.

Sehubungan itu, beliau menegaskan, tindakan mesti diambil terhadap pihak yang merakam dan menyebarkan video berkenaan.

Dalam pada itu, Ismail Sabri memberitahu, PDRM juga telah menahan 536 individu atas kesalahan ingkar arahan prosedur operasi standard SOP semalam.

Beliau menambah, daripada jumlah itu, seramai 527 individu telah dikompaun manakala lapan orang direman dan seorang dijamin.

“Antara kesalahan ingkar SOP termasuk gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (153), tidak memakai pelitup muka (134), premis gagal menyediakan peralatan/merekod butiran pelanggan (107), rentas negeri/daerah PKPB tanpa kebenaran (40), premis beroperasi lebih masa (37), aktiviti pusat hiburan (8) dan lain-lain (57),” jelasnya.

Selain itu, seramai 31 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan lima penyeludup serta enam kenderaan darat dirampas dalam Op Benteng di seluruh negara, semalam. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.