Shahidan nafi laporan media

526

11 NOV: Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim menyangkal laporan berita yang memetik beliau mendakwa kerajaan telah bersetuju untuk mempertimbangkan pengeluaran one-off Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi yang memerlukan dan pelanjutan tempoh moratorium secara menyeluruh.

Shahidan yang juga Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC) berkata, laporan media itu jelas tidak benar apabila mendakwa beliau telah meluluskan dua permohonan berkenaan.

“Saya tidak boleh meluluskan apa-apa polisi atau projek bagi pihak kerajaan kerana saya bukan Menteri mahupun sebahagian daripada anggota Kabinet.

“Jadinya, bagaimanakah pemberita boleh mengatakan saya telah meluluskan pelanjutan tempoh moratorium dan pengeluaran wang dari Akaun 1 KWSP? Saya menafikannya,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Sebuah portal berita hari ini melaporkan kerajaan telah bersetuju menimbangkan permintaan yang dibangkitkan penyokong kerajaan berhubung pengeluaran RM10,000 dari Akaun 1 KWSP dan lanjutan moratorium.

Portal berkenaan melaporkan hal tersebut dengan memetik kenyataan Shahidan.

Dalam pada itu, Shahidan mengulangi sekali lagi bahawa Ahli-Ahli Parlimen Perikatan Nasional memohon pertimbangan sewajarnya berkenaan pengeluaran RM10,000 daripada Akaun 1 KWSP dan pelanjutan tempoh moratorium sehingga tahun hadapan.

“Kami menyokong sepenuhnya Belanjawan 2021 demi rakyat yang tercinta kerana Allah jua,” jelasnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.