Risiko runtuhan, resort diarah tutup

78

11 NOV: Blok batuan tergantung bersaiz antara lima hingga 10 meter di cerun kaki bukit batu kapur di dalam kawasan sebuah resort peranginan di Tambun dekat Ipoh, berisiko mengalami runtuhan pada bila-bila masa.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, penilaian lapangan oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) mendapati cerun yang mengalami runtuhan semalam masih belum stabil dan runtuhan kecil masih berlaku.

Katanya, JMG menganggarkan keluasan runtuhan adalah kira-kira 5,000 meter persegi melibatkan ketinggian antara 50 hingga 100 meter.

“Terdapat aliran air keluar dari beberapa retakan di sepanjang muka cerun yang menghadap ke deretan villa di pusat peranginan itu. Sehubungan itu, semua pihak diminta mengambil langkah berjaga-jaga,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Shamsul Anuar berkata, kementeriannya melalui JMG akan terus membantu pihak berkuasa tempatan dalam memantau kestabilan cerun di kawasan tersebut dan memberi nasihat keselamatan serta perancangan pembangunan di lereng-lereng bukit selaras dengan garis panduan Penentuan Zon Bahaya di Sekitar Batu Kapur.

Sementara itu, kerajaan negeri mengarahkan penutupan sementara operasi The Banjaran Hotspring Retreat, Tambun susulan insiden tanah runtuh yang mengakibatkan dua maut awal pagi semalam.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata resort berkenaan diarahkan penutupan sementara sehingga arahan lanjut daripada pihak berkuasa.

“Pengunjung yang menginap di situ juga dipindahkan atas faktor keselamatan,” katanya pada sidang media di Ipoh hari ini.

Dalam kejadian runtuhan awal pagi semalam, dua penghuni salah sebuah unit di pusat peranginan itu maut dikenali sebagai Ooi Chee Wei, 39, dan Lee Tze Juin, 32, kedua-duanya berasal dari Kuala Lumpur dan datang ke Ipoh atas urusan kerja.

Hasil bedah siasat di Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh mengenal pasti kematian kedua-dua mangsa berpunca daripada kecederaan akibat dihempap tanah serta tembok dinding.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.