PM tinjau pelaksanaan PKPD Medan 88 Salak Tinggi

290

11 NOV: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini membuat tinjauan ke Medan 88 Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, lokasi yang dikuatkuasakan sebagai kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), bermula tengah malam tadi bagi melihat sendiri proses ujian saringan COVID-19 ke atas penduduk di situ.

Muhyiddin berkata, sejurus tiba pada kira-kira jam 8.45 pagi, beliau diberikan taklimat oleh Pengarah Jabatan Kesihatan Selangor, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman mengenai latar belakang kawasan Medan 88 dan bagaimana PKPD diputuskan dilaksanakan di lokasi yang menempatkan pelbagai premis perniagaan itu.

“Saya difahamkan PKPD dibuat selepas 113 individu di mana sebahagian besarnya dari Sabah disahkan positif virus itu selepas saringan dilaksanakan bermula pada awal Oktober lalu. Kadar positif juga tinggi, iaitu 35.4 peratus. Dianggarkan sekitar 500 orang penghuni mendiami kawasan tersebut.

“Medan 88 menempatkan 88 unit kedai tiga tingkat, 284 unit rumah dengan majoriti tingkat atas premis dijadikan bilik sewa dan dihuni oleh individu dari Sabah serta warga asing yang sebahagian besarnya bekerja di kawasan perindustrian di sekitar Sepang,” katanya dalam satu kenyataan menerusi laman Facebooknya sebentar tadi.

Perdana Menteri berkata, menurut Dr Sha’ari, laluan masuk di sekitar kawasan tersebut mula ditutup oleh pasukan keselamatan bermula petang semalam dan seluruh kawasan perniagaan itu dipagari dengan kawat berduri.

“Tahniah untuk pasukan keselamatan kita! Untuk taklimat, saya dipakaikan peralatan perlindungan peribadi (PPE), satu daripada syarat wajib sebelum memasuki kawasan khemah di mana satu daripada tiga khemah yang dijadikan sebagai tempat ujian saringan COVID-19 ke atas penghuni Medan 88 didirikan. Kawasan khemah tersebut dikategorikan sebagai zon merah.

“Dari khemah taklimat yang didirikan di tepi jalan utama, iaitu di luar kawasan berpagar saya berjalan melintasi deretan kedai dan laluan antara bangunan sebelum tiba di khemah ujian COVID-19 yang terletak kira-kira 100 meter. Beberapa premis perniagaan dilihat tidak beroperasi manakala sebahagian besar dibuka seperti biasa,” katanya.

Muhyiddin berkata, beliau dapat melihat penghuni sedang berbaris bagi menjalani ujian dan semua dalam keadaan teratur.

“Petugas kesihatan dan keselamatan sentiasa berada di sisi mereka bagi memberikan penerangan atau penjelasan yang diperlukan sebelum ujian saringan dibuat.

“Saya juga tertarik dengan khidmat Jabatan Penerangan yang menguar-uarkan langkah yang perlu diambil penghuni seperti bila perlu turun serta apa yang perlu dibawa yang dihebahkan melalui pembesar suara van jabatan itu.

“Langkah ini dilihat amat membantu dalam usaha pihak kesihatan dan keselamatan memastikan proses saringan berjalan lancar dalam keadaan jumlah kehadiran yang ramai,” katanya.

Perdana Menteri juga meneliti dengan tekun proses yang dibuat pasukan kesihatan. Mereka banyak berinteraksi dan memberi penerangan selain menenangkan individu yang sebahagian besarnya pertama kali menjalani ujian saringan itu.

“Pada saya, bukan satu tugas mudah untuk ‘mententeramkan’ perasaan individu yang diambil ujian saringan, apatah lagi kepada mereka yang berada di lokasi yang dikategorikan sebagai zon merah. Syabas saya ucapkan!

“Saya juga sempat bertanya khabar dengan seorang remaja lelaki yang sedang menunggu untuk menjalani ujian saringan COVID-19. Anak muda berasal dari Johor itu memaklumkan ini pengalaman pertama beliau dan merasa sedikit gementar kerana selain perlu menahan sakit, dia juga bimbang kalau-kalau dijangkiti virus itu.

“Saya jelaskan itu proses biasa yang perlu dilalui oleh setiap mereka yang berada di kawasan PKPD. Saya mendoakan agar beliau dan mereka yang lain dijauhi daripada wabak terbabit,” katanya

Dari aspek penyediaan keperluan makanan kepada penduduk yang dikenakan PKPD, Muhyiddin berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah mengambil langkah awal dengan menyediakan 500 bakul makanan untuk diedarkan kepada mereka yang memerlukan.

“Saya yakin, langkah ini akan membantu mengurangkan kegusaran penduduk yang bimbang mengenai bekalan makanan walaupun premis perniagaan di Medan 88 dibuka seperti biasa dan mereka bebas bergerak di dalam kawasan berpagar itu.

Sama-samalah kita berdoa agar penghuni Medan 88 yang lain serta seluruh penduduk yang berada di kawasan PKPD di seluruh negara dijauhi daripada jangkitan COVID-19. Amin,” katanya – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.