PKPD 2 lokasi tamat lebih awal

101

11 NOV: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Pangsapuri Mutiara Kasih dan Taman Khazanah Indah di Lahad Datu ditamatkan hari ini, lebih awal daripada yang dijadualkan iaitu pada 23 November.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sehingga semalam, Kementerian Kesihatan mendapati kesemua keputusan 5,189 sampel saringan kedua yang diperolehi adalah negatif.

“Kementerian Kesihatan juga mendapati tiada lagi kes baharu positif COVID-19 di kedua-dua lokaliti ini dalam masa 18 hari terkini,” katanya dalam sidang media di Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau turut mengumumkan PKPD di Penjara Reman dan Kuarters Penjara Reman Pulau Pinang ditamatkan hari ini, sebagaimana yang telah dijadualkan.

Sementara itu, Ismail Sabri memberitahu, PKPD di Medan 88, Salak Tinggi, Sepang mula dikuatkuasakan esok hingga 25 November ini.

Menurut beliau, sehingga 5 November lalu, sebanyak 39 kes positif COVID-19 telah direkodkan di kawasan tersebut.

“Pelaksanaan PKPD ini akan melibatkan sebanyak 88 unit rumah kedai, 284 premis dan seramai 800 orang penduduk,” jelasnya.

SOP PKPD adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini namun, premis perniagaan bagi barangan keperluan asas dibenarkan untuk beroperasi. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.