Pengeluaran Akaun 1 ambil kira kepentingan pencarum

78

11 NOV: Keputusan memperhalusi dan menambah baik kemudahan pengeluaran tambahan seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2021 adalah mengambil kira kepentingan pencarum dan bukannya atas tekanan politik.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Tunku Alizakri Alias berkata, kemudahan pengeluaran tambahan menerusi Akaun 1 perlu dibuat berdasarkan perincian teliti bagi mengimbangi keperluan pencarum dalam menangani cabaran semasa berikutan pandemik COVID-19.

“Pada masa yang sama, ia memastikan simpanan persaraan pencarum mencukupi bagi kesejahteraan masa depan mereka,” katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

TUNKU ALIZAKRI ALIAS
TUNKU ALIZAKRI ALIAS

Beliau menambah, pihaknya mengambil semua pandangan dan input daripada pelbagai pihak berkepentingan dalam memutuskan mengenai kemudahan pengeluaran tambahan itu.

Katanya, pengeluaran tambahan itu akan diberikan kepada mereka yang benar-benar memerlukan saja.

Pada pembentangan Belanjawan 2021 pada Jumaat lalu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan kemudahan pengeluaran simpanan KWSP daripada Akaun 1 secara bersasar sebanyak RM500 sebulan dengan jumlah sehingga RM6,000 bagi tempoh 12 bulan untuk meringankan beban kewangan ahli yang terjejas.

Sebelum ini, KWSP telah memperkenalkan kemudahan pengeluaran i-Lestari pada April yang membenarkan ahli membuat pengeluaran sebanyak RM500 sebulan selama tempoh 12 bulan dengan jumlah keseluruhan sehingga RM6,000.

Skim itu telah memanfaatkan kira-kira 4.7 juta ahli dengan nilai RM11.6 bilion.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.