Kutipan levi keuntungan sawit diunjur RM348j

95

11 NOV: Kerajaan dijangka memperoleh hasil kutipan levi keuntungan luar biasa sebanyak RM348 juta dari industri sawit tahun ini.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, jumlah itu adalah jauh lebih tinggi berbanding hanya RM256,000 tahun lalu.

Beliau menjelaskan, sebagai panduan, levi dikenakan pada kadar 3 peratus bagi harga kelapa sawit melebihi RM2,500/tan di Semenanjung dan 1.5 peratus bagi harga kelapa sawit melebihi RM3,000/tan di Sabah dan Sarawak.

khairuddin
MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI

“Dalam usaha merancakkan lagi pembangunan industri sawit, kementerian juga sedang mengkaji struktur keseluruhan percukaian dan ses dalam sektor perladangan komoditi ini.

“Ini menunjukan kenaikan harga sawit bukan sahaja membantu meningkatkan pendapatan pekebun kecil serta estet tetapi juga dapat menyumbang kepada pembangunan ekonomi demi kemakmuran negara,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Khairuddin juga percaya harga minyak sawit mentah (MSM) yang melepasi paras RM3,000 setan dijangka terus meningkat dengan dipacu oleh sentimen pasaran yang positif, jangkaan penurunan stok dan peningkatan eksport serta perkembangan ekonomi dan politik global pada penghujung tahun ini.

Menurut beliau, harga minyak sawit di pasaran ditentukan oleh kuasa permintaan dan penawaran.

Selain itu, katanya, faktor asas dan sentimen pasaran turut mempengaruhi pergerakan harga MSM di pasaran.

“Harga MSM telah menunjukkan trend peningkatan yang begitu ketara, melonjak kepada RM3,424 setan pada 6 November lalu berbanding paras terendahnya, iaitu RM2,021.50 setan pada 12 Mei, peningkatan sebanyak RM1,402.50 atau 69.4 peratus,” ujarnya.

Mohd Khairuddin menambah, harga MSM yang mencecah RM3,424 setan ini adalah tertinggi sejak 3 Mei 2012 iaitu pada RM3,417.50 per tan.

“Peningkatan harga MSM telah menyumbang kenaikan harga buah tandan segar (BTS) kepada RM727 per tan (berdasarkan OER untuk gred 20 peratus) pada 6 November lalu berbanding RM408 per tan pada 12 Mei,” katanya.

Beliau memberitahu, trend MSM itu menunjukkan bahawa usaha-usaha yang dilakukan oleh kerajaan telah berjaya meningkatkan harga minyak sawit. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.