Dewan Rakyat lulus 9 JK Pilihan Khas

139

11 NOV: Dewan Rakyat hari ini meluluskan penubuhan sembilan Jawatankuasa Pilihan Khas baharu yang dianggotai oleh Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang yang akan berfungsi sebagai mekanisme semak dan imbang terhadap cabang eksekutif negara.

Itu antara yang terkandung dalam Penyata Jawatankuasa Dewan yang dibentangkan kepada semua Ahli Parlimen hari ini yang kemudiannya diterima dan dipersetujukan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen), Datuk Takiyuddin Hassan berkata, jawatankuasa berkenaan adalah Jawatankuasa Pilihan Khas Kebebasan Asasi dan Hak-hak di bawah Perlembagaan, Jawatankuasa Pilihan Khas Kewangan dan Ekonomi, Jawatankuasa Pilihan Khas Keselamatan, Jawatankuasa Pilihan Khas bagi Agensi-Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri, Jawatankuasa Pilihan Khas Pertanian dan Perdagangan Dalam Negeri.

TAKIYUDDIN HASSAN
TAKIYUDDIN HASSAN

Menurut beliau, empat lagi jawatankuasa adalah Jawatankuasa Pilihan Khas Pembangunan Infrastruktur, Jawatankuasa Pilihan Khas Pendidikan, Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Wanita & Kanak-Kanak dan Pembangunan Sosial dan Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan, Sains dan Inovasi.

“Jawatankuasa Pilihan Khas tersebut akan berfungsi sebagai mekanisma semak dan imbang kementerian-kementerian. Jawatankuasa bersetuju agar terma rujukan bagi Jawatankuasa Pilihan Khas ini mengandungi yang pertama tujuan penubuhan, kedua adalah keanggotaan tujuh orang ahli termasuk pengerusi dan ketiga adalah tempoh pelantikan selama dua tahun atau dua penggal.

“Jawantankuasa Pilihan Khas juga berkuasa memanggil orang hadir di hadapannya untuk ambil keterangan dan buah fikiran serta pandangan dan apa apa berkaitan dengan bidang tugas yang dinyatakan dalam terma jawatankuasa tersebut serta tertakluk pada peruntukan yang dinyatakan dalam peraturan majlis mesyuarat dewan rakyat,” katanya ketika membentangkan usul itu dalam sidang Dewan Rakyat.

Takiyuddin memberitahu laporan dan penyata hasil siasatan oleh sesuatu Jawatankuasa Pilihan Khas akan dibentangkan di dalam Dewan Rakyat yang akan dibentangkan untuk dibahas dan diterima oleh Ahli Parlimen.

“Ini melalui usul di bawah Peraturan 86 (5) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat. Jawatankuasa Dewan juga bersetuju untuk mewujudkan Seksyen Jawatankuasa Pilihan Dewan Rakyat di Bahagian Pengurusan Dewan Rakyat Parlimen Malaysia.

“Ini sebagai sekretariat jawatankuasa-jawatankuasa untuk membolehkan ia berfungsi dengan lancar dan berkesan. Jawatankuasa Dewan juga bersetuju bahawa penubuhan kumpulan Ahli Parlimen Rentas Parti (APPGM) diteruskan dengan mematuhi peraturan dan garis panduan yang telah ditetapkan,” katanya.

Sementara itu, Takiyuddin mengesahkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun telah dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Dewan Parlimen Ke-14 yang terdiri daripada enam ahli parlimen terdiri daripada kerajaan dan pembangkang

“Ahli-ahlinya adalah Ahli Parlimen Bersatu Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin; Ahli Parlimen BN Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim; Ahli Parlimen GPS Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing; Ahli Parlimen DAP Lanang, Lau Kiong Yieng dan Ahli Parlimen PH Lumut, Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli,” katanya.

Terdahulu, Azhar baru-baru ini mencadangkan pewujudan sembilan jawatankuasa pilihan khas yang baharu dalam usaha memperkasakan Parlimen Malaysia.

Azhar menyatakan cadangan penubuhan jawatankuasa pilihan khas yang baharu dengan pendekatan rentas parti adalah bukti komitmen Parlimen Malaysia untuk memperkasakan fungsi institusi perundangan negara yang lebih telus, diyakini dan unggul sesuai dengan kehendak semasa. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.