Cemar Sg Selangor, 4 suspek direman

84

11 NOV: Mahkamah Majistret Selayang memerintahkan empat individu termasuk seorang lelaki warga Bangladesh direman bagi membantu siasatan kes pencemaran bau di loji rawatan kumbahan Indah Water Konsortium (IWK) Taman Velox, Rawang.

Dua daripada suspek termasuk seorang wanita adalah pengarah syarikat pembinaan jalan raya.

Majistret Nur Hafizah Rajuni memerintahkan kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 17 November.

Majistret mengeluarkan perintah reman itu mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah (KAJ).

Suspek direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan iaitu melakukan khianat dengan menyebabkan bahan buangan dilupuskan ke dalam sungai.

Siasatan awal mendapati seorang suspek wanita adalah penama yang didaftarkan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), menyewa premis di No 32, Jalan Velox 2, Rawang, manakala seorang lelaki tempatan dan dua pekerjanya termasuk seorang warga Bangladesh pula menumpang stok bahan kimia di premis berkenaan.

Dipercayai terdapat aktiviti membuang sisa kimia ke dalam satu lubang kumbahan di premis yang disyaki terus mengalir ke kawasan tercemar.

Semua suspek ditahan di sekitar Gombak, Damansara dan Kelana Jaya, bermula tengah malam tadi hingga awal pagi ini.

Sementara itu, Lembaga Urus Air Selangor dalam satu kenyataan hari ini memberitahu, tindakan penguakuasaan bersepadu yang melibatkan pelbagai agensi penguatkuasaan lewat malam tadi telah menemukan premis yang disyaki melakukan pembuangan efluen secara tidak sah ke lurang kumbahan yang seterusnya mencemari Loji Rawatan Kumbahan Indah Water Konsortium (IWK).

Selain LUAS, agensi-agensi penguatkuasaan terbabit adalah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Gombak dan Pengurusan Air Selangor Berhad (Air Selangor).

Sisa dar premis di Taman Velox, Rawang tersebut didapati menghasilkan bau yang sama seperti yang dikesan di loji rawatan kumbahan IWK dan loji rawatan air.

“LUAS akan mengeluarkan Surat Arahan Perintah Perlindungan Air di bawah Seksyen 122 Enakmen LUAS 1999 kepada premis yang disyaki berkenaan risiko dan ancaman kepada kualiti sumber air dan diarahkan untuk menjalankan kerja-kerja pemulihan segera di tapak.

“LUAS juga akan mengeluarkan Surat Arahan kepada IWK di bawah Seksyen 121(1) Enakmen LUAS 1999 bagi tindakan penutupan aliran dan pembersihan serta-merta di loji rawatan kumbahan,” jelas kenyataan itu.

LUAS menambah, pemantauan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan tiada pencemaran berlaku di Sungai Selangor.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.