822 kes, lebih separuh di NS dan Lembah Klang

459

11 NOV: Sebanyak 822 kes baru COVID-19 dilaporkan hari ini dengan Sabah mencatatkan penurunan ketara apabila hanya 259 kes dikesan di negeri itu.

Bagaimanapun ketika Sabah mencatatkan penurunan, kes baru di Lembah Klang dan Negeri Sembilan pula melaporkan peningkatan kes baru yang ketara melibatkan lebih separuh daripada jumlah kes baru hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, keseluruhannya jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 42,872 kes manakala, kes aktif ketika ini pula sebanyak 11,497 kes.

Beliau berkata, negeri-negeri di Lembah Klang mencatatkan sebanyak 202 kes bersamaan 24.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes baru dengan Selangor melaporkan 176 kes.

Katanya, Negeri Sembilan pula terus melaporkan tiga angka kes baru dengan 225 kes yang kebanyakannya melibatkan kes-kes dari kluster sedia ada.

“Sehingga kini, terdapat 86 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 30 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Dukacita dimaklumkan bahawa terdapat pertambahan dua kes kematian berkaitan COVID-19. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 302 kes.

“Kedua-dua kes itu dilaporkan di Sabah dengan yang pertama melibatkan seorang wanita 22 tahun bukan warganegara yang meninggal dunia di Hospital Tuaran dan beliau mempunyai latar belakang masalah jantung.

“Kes kedua dilaporkan di Hospital Sandakan melibatkan seorang wnaita berusia 67 tahun,” katanya dalam sidang akhbar di Putrajaya hari ini.

Sementara itu, Noor Hisham berkata, daripada 822 kes baharu pada hari ini, terdapat tujuh kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

Katanya, kes-kes tersebut melibatkan satu warganegara dan enam bukan warganegara yang tiba dari negara India, Kanada, Indonesia, Emiriah Arab Bersatu, Afghanistan, Rusia dan Arab Saudi.

“Negeri lain yang turut melaporkan kes baru hari ini ialah Labuan dengan 46 kes, Pulau Pinang (26), Kuala Lumpur (17), Kedah (17), Sarawak (14), Perak (14), Johor (10), Melaka (6) dan Putrajaya (3),” katanya.

Turut melaporkan kes negeri yang tidak diletakkan di bawah PKPB iaitu Perlis dengan dua kes manakala Kelantan, satu kes. -Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.