Waris kanak-kanak tunggang motosikal kena saman

124

10 NOV: Polis telah menyiasat kejadian seorang kanak-kanak bawah umur menunggang motosikal yang tular dalam media sosial termasuk Facebook dan WhatsApp baru-baru ini.

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu dalam satu kenyataan hari ini berkata, rakaman video berlaku pada di Kampung Paya Chegar, Jitra, Kedah pada 8 November lalu, jam 6 petang.

“Kanak-kanak tersebut telah dibawa ke IPD Kubang Pasu oleh waris dan telah diambil tindakan lanjut di bawah kesalahan lalu lintas iaitu menunggang di bawah umur, cukai jalan tamat tempoh dan tidak dilindungi perlindungan insuran dan serta tidak memakai topi keledar.

“Waris kanak-kanak tersebut telah diambil tindakan di bawah Seksyen 39(5) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana membenarkan pemandu bawah umur memandu suatu kenderaan bermotor,” jelas kenyataan tersebut.

saman
Kanak-kanak terbabit dan warisnya menunjukkan saman yang dikeluarkan oleh polis.

IPD Kubang Pasu turut menasihatkan ibu bapa lebih memberikan perhatian kepada kanak-kanak terutama dalam aspek keselamatan lalu lintas agar kejadian yang tidak dingini dapat dielakkan.

Dalam rakaman video yang tular itu, seorang kanak-kanak lelaki dilihat menunggang sebuah motosikal jenis Honda EX5 berwarna hitam yang nombor pendaftarannya agak kabur.

Kanak-kanak tersebut dilihat berada di satu simpang tiga dan menunggang motosikal keluar dari simpang dan sehingga video berdurasi 19 saat itu tamat.

Insiden itu mengundang pelbagai reaksi daripada netizen yang kesal dan bimbang dengan keselamatan kanak-kanak terbabit.

Siasatan dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kubang Pasu. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.